PATI ditahan di ladang ternakan di Kundasang

Jonathan (dua dari kiri) memeriksa individu disyaki PATI di kawasan sebuah ladang ternakan terkemuka di Kundasang dalam Operasi Patuh Bersepadu yang dilaksanakan JIM Sabah.
Jonathan (dua dari kiri) memeriksa individu disyaki PATI di kawasan sebuah ladang ternakan terkemuka di Kundasang dalam Operasi Patuh Bersepadu yang dilaksanakan JIM Sabah.
A
A
A

RANAU - Seramai 17 warga Filipina disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berselindung di sebuah ladang ternakan haiwan di kawasan tanah tinggi Kundasang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Operasi Patuh Bersepadu pada awal pagi Sabtu.

Semua individu yang ditahan diserbu ketika sedang tidur di rumah kongsi ladang terbabit kira-kira jam 1 pagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin berkata, operasi itu diadakan dengan kerjasama daripada pihak anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.

Menurut beliau, operasi itu bertujuan untuk mengesan individu yang tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.

"Hasil pemeriksaan awal, kita mendapati ada yang tinggal di sini kerana ikut keluarga bekerja dan ada juga memang bekerja di sini.

"Mungkin ada yang bekerja di kebun-kebun atau untuk pembersihan kerana kita lihat lokasi serbuan ini antaranya adalah di kawasan ladang," katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi di Kampung Mesilou, Kundasang, pada awal pagi Sabtu.

Jonathan Yasin
Jonathan Yasin

Mengulas lanjut, Jonathan berkata, secara keseluruhan seramai 173 individu diperiksa dan daripada jumlah itu 65 warga Filipina dan Indonesia berusia antara satu hingga 70 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

"Objektif utama operasi ini dilaksanakan adalah untuk membanteras PATI dan tumpuan turut menjurus kepada majikan yang disyaki mengambil, melindungi pekerja dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini," katanya.

Katanya, tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa sebarang kompromi terhadap PATI atau majikan yang didapati dengan sengaja membiarkan pekerja tanpa dokumen yang sah tinggal di premis atau kawasan mereka.

"Kita minta supaya majikan bertanggungjawab untuk memastikan setiap pekerja mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja di kawasan masing-masing dan tindakan akan diambil jika didapati berterusan tidak memberi perhatian serius kepada hasrat kerajaan supaya tidak mengambil pekerja tanpa dokumen yang sah," katanya.

Sebelum itu, operasi terbabit turut dihadiri Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin serta membabitkan seramai 98 anggota daripada JIM Sabah, Rela dan APM.

Anggota JIM Sabah menyerbu salah satu rumah kongsi disyaki sebagai sarang PATI di Kundasang Ranau.
Anggota JIM Sabah menyerbu salah satu rumah kongsi disyaki sebagai sarang PATI di Kundasang Ranau.