X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberhentian vaksin Sinovac tiada kaitan soal keberkesanan: Khairy

Khairy Jamaluddin
A
A

PUTRAJAYA - Pemberhentian pemberian vaksin Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah kerana pembekalannya telah selesai dan tiada kaitan dengan soal keberkesanannya, kata Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Pharmaniaga Bhd telah selesai membekalkan 12 juta dos vaksin keluaran China itu lebih awal daripada jadual asal kepada kerajaan.

“Kami akan menerima keseluruhan penghantaran (vaksin Sinovac) pada hujung bulan ini,” kata Khairy yang menolak spekulasi pemberhentian vaksin Sinovac dalam PICK berkaitan dengan soal keberkesanannya.

Pharmaniaga dalam kenyataan medianya memaklumkan proses pembekalan vaksin Sinovac untuk PICK telah selesai dengan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai ini. Kontrak Pharmaniaga adalah membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Sinovac secara pengisian dan pembotolan dalam tempoh tujuh bulan iaitu antara Mei dan November 2021.

Khairy dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada Jumaat berkata, kerajaan memutuskan untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech bagi PICK mulai bulan depan manakala stok simpanan Sinovac hanya dikhususkan untuk mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin lain.

“Untuk tujuan itu, kerajaan telah menempah tiga juta dos vaksin Sinovac untuk dijadikan stok simpanan. Tempahan ini akan diterima akhir Julai atau awal Ogos ini,” katanya.

Sehingga kini, negara telah menerima 6.66 juta bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech termasuk kira-kira satu juta dos yang disumbangkan oleh kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Mengenai laporan media antarabangsa berhubung sekatan eksport vaksin AstraZeneca yang dikilangkan di Thailand, Khairy berkata, beliau akan mengadakan perbincangan secara dua hala dengan negara jiran itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan vaksin berkenaan ke Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, negara telah bersiap sedia dengan pelan alternatif sekiranya kerajaan Thailand menyekat eksport bekalan vaksin AstraZeneca keluaran negara Gajah Putih itu.

“Kami mempunyai pelan B iaitu meningkatkan pembelian vaksin Sinovac kerana kita sudah mempunyai fasiliti secara pengilangan di Malaysia (Pharmaniaga). Jadi Pharmaniaga tahu jika ada sebarang keperluan mendesak, kita akan memaklumkan kepada mereka untuk membekalkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!