Malaysia gesa APEC tolak dasar perlindungan, tumpu kerjasama erat

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan di Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern malam ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan di Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa kepada kerjasama yang lebih erat daripada ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam memudahkan pergerakan barangan keperluan dan menolak dasar perlindungan perdagangan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam ekonomi menghadapi penularan Covid-19, menguruskan sekatan pergerakan, lonjakan kes dan pengeluaran yang terjejas, aliran perdagangan global yang tidak dapat dielakkan akan terus terganggu kecuali isu ini ditangani dengan segera dan secara bersama.

Beliau berkata, rantau APEC tidak boleh dilihat sebagai antitesis atau bertentangan dengan perdagangan terbuka dan pelaburan.

“Kita perlu menolak dasar perlindungan dengan tidak memperkenalkan langkah-langkah sekatan perdagangan yang baharu dalam tempoh kritikal ini sebaliknya merangka inisiatif baharu untuk memudahkan rantaian bekalan.

“Kejayaan pantas APEC ialah sesuatu yang kita lakukan secara semula jadi dan cekap, iaitu berkongsi maklumat.

“Usaha kolektif yang mudah ini dapat membantu meningkatkan tahap rantaian bekalan untuk mengurangkan risiko, menangani kesesakan, mengelak harga yang terlalu tinggi dan kekurangan bekalan,” katanya dalam ucapan intervensi pada Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua APEC yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, walaupun terdapat beberapa negara telah kembali kepada tahap tertentu yang normal, banyak negara yang masih bergelut untuk mendapatkan semula kestabilan ekonomi, justeru, perlu bagi semua negara untuk mengambil tindakan segera dan kukuh secara kolektif.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa ekonomi APEC perlu mengukuhkan kerjasama mereka ke arah vaksin Covid-19 yang saksama, mampu milik dan dapat diakses untuk semua.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan penularan varian baharu yang amat mudah berjangkit, vaksin Covid-19 adalah talian hayat untuk rakyat dan jurang vaksinasi global yang jelas tidak seharusnya menjadi halangan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Tiada ekonomi yang seharusnya ketinggalan dari segi menerima vaksin Covid-19, katanya.

“Walaupun kepentingan mengekalkan insentif bagi tujuan inovasi perlu diutamakan, Malaysia juga menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin global, termasuk menerusi rundingan di Pertubuhan Perdagangan Dunia yang melibatkan pengecualian sementara peruntukan tertentu dalam Perjanjian Aspek Harta Intelek berkaitan Perdagangan (TRIPS).

“Ini merupakan langkah dan hala tuju yang tepat memandangkan keadaan luar biasa juga memerlukan tindakan seumpamanya,” katanya.

Selain mengakui bahawa rundingan berkaitan memerlukan masa lama, Muhyiddin juga mengingatkan agar negara-negara pengeluar vaksin mengelak perbuatan meningkatkan stok simpanan vaksin masing-masing dan sebaliknya berkongsi dengan negara lain yang memerlukannya.

Malah, Perdana Menteri menegaskan bahawa sikap ‘nasionalisme’ vaksin serta perbuatan menyimpan stok vaksin itu sebagai tidak produktif dalam usaha melonjakkan kadar pemberian vaksin global yang turut mendorong negara-negara mencatat pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa langkah pembukaan semula sempadan antarabangsa ketika tempoh pandemik sebagai satu tindakan berhati-hati yang memerlukan perancangan teliti serta keyakinan tinggi oleh pihak yang terbabit.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa ekonomi APEC membincangkan kemungkinan mewujudkan pengawalseliaan berkaitan gelembung perjalanan dan pengaturan kuarantin, atau perakuan bersama meliputi dokumen pensijilan vaksinasi yang seragam tanpa mengetepikan ketetapan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Apabila tiba masa yang tepat, kesemua penyelesaian yang praktikal ini akan menjadi jawapan dalam usaha memudahkan kesalinghubungan antara penduduk di rantau tersebut,” kata beliau.

Pemukiman tidak rasmi itu yang secara tradisinya diadakan setiap November bersempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM), telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern. - Bernama