Segerakan suntikan vaksin pekerja sektor perkhidmatan

Kelewatan pemberian vaksin kepada pekerja berkenaan adalah sesuatu yang mengecewakan dan membimbangkan serta memerlukan perhatian segera pihak kerajaan. Gambar hiasan
Kelewatan pemberian vaksin kepada pekerja berkenaan adalah sesuatu yang mengecewakan dan membimbangkan serta memerlukan perhatian segera pihak kerajaan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM- Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa agar vaksinasi pekerja sektor perkhidmatan yang turut tersenarai sebagai barisan hadapan utama disegerakan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mamal berkata, kelewatan pemberian vaksin kepada pekerja berkenaan adalah sesuatu yang mengecewakan dan membimbangkan serta memerlukan perhatian segera pihak kerajaan.

“Kadar peningkatan kes baharu menimbulkan kebimbangan kepada pekerja di sektor perkhidmatan seperti bahagian peruncitan, pasar raya, media, restoran, perbankan dan kewangan, pos dan kurier, pembuatan serta pembinaan kerana ramai antara mereka masih belum menerima dos pertama.

“Kerajaan perlu mengkategorikan setiap pekerja sebagai anggota barisan hadapan kerana masing-masing mempunyai peranan dan fungsi penting demi kepentingan rakyat dan negara.

“Sebagai contoh, setiap pekerja kilang juga harus disenaraikan sebagai barisan hadapan kerana jika mereka tidak bekerja, kita tidak akan ada bekalan makanan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohamed Shafie, adalah wajar setiap individu yang bekerja ketika Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' ini diberikan vaksin dengan secepat yang mungkin dan kerajaan wajar mengadakan satu perbincangan dengan kesatuan-kesatuan sekerja serta badan industri bagi mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, pihak kesatuan sekerja sedia membantu dan kami yakin pihak majikan akan sama-sama membantu.

“Saya memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dalam memastikan proses vaksinasi ke atas pekerja di semua peringkat dan sektor disegerakan khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Langkah yang sama perlu diberi perhatian di negeri-negeri lain supaya tidak ada situasi yang sama.

“UNI-MLC mencadangkan supaya proses penyuntikan vaksin juga diserahkan kepada tiap-tiap negeri bukan dikawal oleh pihak persekutuan,” jelasnya.