X

Kindly register in order to view this article
!

4,027 permohonan Bakul Prihatin Negara sejak dibuka semalam

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat bekalan Bakul Prihatin ketika Tinjauan dan Pemantauan Proses Pengagihan Bakul Prihatin Negara di Kampung Datuk Keramat hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 4,027 permohonan telah diterima sejak permohonan bantuan Bakul Prihatin Negara dibuka pada Khamis, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,929 permohonan diterima melalui bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 1,359 menerusi Talian Kasih dan 739 daripada aplikasi WhatApps.

“Walaupun pada asalnya bantuan Bakul Prihatin Negara ini dijadualkan bermula pada 19 Julai, tetapi saya mengambil tindakan proaktif untuk turun menyampaikan bantuan ini lebih awal melihat kepada jumlah permohonan yang diterima,” katanya ketika menyampaikan bantuan tersebut di Kampung Datuk Keramat dan Wangsa Maju di sini pada Jumaat.

Rina berkata, bantuan secara menyeluruh itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat sama ada daripada kumpulan M40, B40, atau T20.

“Kita sedar ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sesiapa yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh menghubungi Talian Kasih 15999, WhatApps 019 2615999, pejabat JKM daerah berdekatan atau menerusi media sosial rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” katanya.

Rina berkata, bantuan ini adalah kesinambungan daripada pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini seperti Permai dan Pemulih dan kira-kira 1.5 juta bakul makanan telah diagihkan kepada penerima melalui JKM sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Seorang penerima Safrizal Muin, 62, pemandu lori yang hilang pekerjaan sejak PKP 1.0, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan yang menyatakan bantuan akan disampaikan sendiri oleh menteri.

“Saya berasa terharu dengan pemberian ini. Setelah hilang pekerjaan, pendapatan kami sekeluarga bergantung kepada hasil jualan nasi lemak isteri saya dan empat anak saya menjalankan perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan kini hanya bergerak dengan mengunakan kerusi roda.

Seorang ibu tunggal, Low Pui Fun, 47, berkata, dia baru membuat permohonan semalam dan teruja apabila bantuan disampaikan dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

“Apabila mendengar pengumuman Perdana Menteri semalam, saya cuba untuk membuat permohonan, tidak sangka bantuan diterima secepat ini. Banyak jenis makanan diberikan, saya boleh tukar selera, sebelum ini hanya makan telur sahaja,” katanya yang sudah setahun diberhentikan kerja.

Bantuan disampaikan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program itu sebagai tindak balas proaktif terhadap senario dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 membabitkan peruntukan RM21 juta. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!