Surat palsu: Pejabat Menteri Pertahanan buat laporan polis

Rafizal (tengah) selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Menteri Pertahanan membuat satu laporan polis berhubung dua surat palsu perolehan kontrak yang salah satunya menggunakan tandatangan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bagi kelulusan projek berkaitan kementerian itu.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Wangsa Maju oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 Pejabat Menteri Pertahanan, Rafizal Ali pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya telah berjaya mengenalpasti dua individu yang disyaki menjadi dalang kepada dua surat palsu berkenaan.

"Maklumat berkaitan perkara itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan kedua-dua individu itu adalah orang luar (bukan berkait dengan kementerian)," katanya kepada media di perkarangan Balai Polis Wangsa Maju.

Rafizal memberitahu, kementerian berjaya mengesan kewujudan surat palsu itu dan sempat mengambil tindakan sebelum dokumen berkenaan sampai kepada pihak yang berkenaan.

"Dua surat berkenaan adalah berkaitan pembekalan perabot dan pembekalan perkhidmatan bas.

"Jumlah projek berkaitan pembekalan perabot sekitar RM3juta sementara satu lagi projek masih belum dikenalpasti.

"Kementerian pada dasarnya tidak pernah mempunyai perancangan untuk melaksanakan kedua-dua projek ini," katanya.

Rafizal menambah, pada awalnya, Kementerian Pertahanan hanya mendengar khabar angin bahawa terdapat dua surat perolehan kontrak palsu yang berkait dengan kementerian itu.

"Sehinggalah pada 9 Disember tahun lalu Kementerian Pertahanan menerima surat dari sebuah syarikat memohon sokongan khas daripada Menteri Pertahanan berhubung pembekalan perabot untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pada surat itu tertera cop terima daripada Pejabat Menteri, tandatangan dan cop nama Menteri serta nota arahan bertulis sila uruskan permohonan kepada syarikat ini pembekalan perabot negeri Kelantan dan Perak sehingga selesai.

"Surat ke dua bertarikh 17 Januari 2019 daripada Bahagian Perbendaharaan dan Audit Unit Pentadbiran Awam Departmen Tentera Laut yang menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas angkatan tentera kepada sebuah syarikat. Turut disertakan adalah sijil pelantikan sebagai syarikat pembekal bagi tempoh kontrak lina tahun berakhir Februari 2024.

"Setelah meneliti dan mendapat maklumat daripada pihak berkaitan, dikenalpasti bahawa dua surat tersebut adalah palsu," katanya.

Rafizal menambah, justeru itu satu laporan polis dibuat bagi mengelak sebarang kesan dan akibat yang tidak baik daripada pemalsuan dan penyalahgunaan nama menteri, pejabat menteri dan kementerian seperti kedua-dua surat palsu ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia