Rayuan kerajaan terhadap kebenaran semakan kehakiman Dhaya Maju ditolak

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kontraktor projek Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) meneruskan dengan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan penamatan kontraknya.

Hakim, Datuk Lee Swee Seng, yang mempengerusikan panel tiga anggota, berkata, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd telah memenuhi ujian ambang batas bahawa ia terjejas teruk dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan dalam pelaksanaan fungsi awamnya.

Panel yang turut disertai oleh Hakim S. Nantha Balan dan Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak sebulat suara menolak rayuan oleh kerajaan, Menteri Pengangkutan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan masing-masing diarah bayar kos sebanyak RM15,000.

Dalam keputusannya, Swee Seng berkata, biasanya penamatan kontrak pembinaan adalah perkara berkaitan undang-undang persendirian tetapi dalam kes ini terdapat unsur awam kerana alasan penamatan kontrak adalah berdasarkan kepentingan negara, keselamatan dan kepentingan awam.

“Dan alasan untuk menamatkan kontrak ini dapat dilihat dengan semakan kehakiman kerana ia diselitkan dengan unsur undang-undang awam,” katanya.

Swee Seng juga berkata, mahkamah tidak melihat alasan baik untuk mengganggu pelaksanaan budi bicara oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam memberikan penangguhan keputusan kerajaan memanggil tender awam sementara menunggu pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh Dhaya Maju LTAT.

Katanya, Akta Prosiding Kerajaan dan Akta Bantuan Khas dalam apa juga keadaan dan berdasarkan kewajipan pihak berkuasa terikat tidak melarang pemberian penangguhan yang bersifat interim sementara menunggu pendengaran permohonan semakan kehakiman secara merit.

Pada 14 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Noorin Badaruddin memberikan kebenaran kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah untuk mengetepikan keputusan kerajaan yang membatalkan projek itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut membenarkan permohonan bagi menggantung keputusan kerajaan untuk mengadakan tender terbuka bagi pembidaan projek tersebut sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman itu.

Permohonan semakan kehakiman yang difailkan Dhaya Maju LTAT pada September 2020 itu menamakan kerajaan dan Menteri Pengangkutan sebagai defendan.

Syarikat itu memohon deklarasi bahawa keputusan kerajaan membatalkan projek KVDT2, yang dianugerah pada 19 Ogos 2019 dan pembukaan semula tender bagi pembidaan projek tersebut selepas itu adalah batal serta tidak sah.

Dhaya Maju LTAT juga memohon perintah certiorari bagi mengetepikan keputusan kerajaan membatalkan projek itu dan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan menyempurnakan semua perjanjian dan dokumen yang telah ditandatangani.

Dalam prosiding rayuan secara dalam talian itu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi bertindak bagi pihak kerajaan, Menteri Pengangkutan dan AGC manakala peguam Datuk Dr Cyrus Das dan Datuk Lim Chee Wee mewakili Dhaya Maju LTAT. - Bernama