Tokyo 2020: MSN anjur bacaan Yasin, doa kejayaan atlet negara

Reezal Merican Naina Merican - Foto Bernama
Reezal Merican Naina Merican - Foto Bernama
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) pada Jumaat menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Munajat bagi mendoakan keselamatan dan kejayaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020,

Majlis berlangsung secara dalam talian itu, bermula pada pukul 9 pagi dan disertai Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama lebih 200 warga sukan termasuk para jurulatih dan atlet kebangsaan.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.

Menurut kenyataan KBS majlis tersebut merupakan sebahagian daripada kalendar program semarak Demi Malaysia sebagai tanda sokongan kepada atlet negara yang akan berjuang di Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai ini.

"Majlis ini adalah bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar segala urusan kontinjen negara ke Tokyo, Jepun berjalan dengan lancar serta dilindungi daripada jangkitan virus Covid-19.

"Ia adalah salah satu ikhtiar kita mendoakan agar kontinjen negara kita selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air dengan membawa pulang kejayaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Reezal Merican berkata KBS amat menitikberatkan keselamatan dan kesihatan para atlet serta ahli kontinjen yang membawa misi besar negara serta harapan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut melancarkan Bilik Gerakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di bangunan MSN yang bakal menjadi pusat maklumat, komunikasi dan penyelarasan media antara kontinjen negara dan pihak MSN sepanjang temasya berlangsung. - Bernama

Artikel Berkaitan: