Covid-19: Pasar Awam Sementara Seberang Jaya ditutup

Rozali
Rozali
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pasar Awam Sementara Seberang Jaya di sini ditutup selepas terdapat tiga kes positif Covid-19 membabitkan peniaga di situ.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, berdasarkan kes berkenaan, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) telah turun ke pasar awam terbabit bagi menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, PKD SPT berpuas hati dan menetapkan Pasar Awam Sementara Seberang Jaya ditutup bermula Jumaat sehingga 25 Julai depan atau tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"Penutupan ini bagi membolehkan PKD SPT meneruskan siasatan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak.

"Ia akan melibatkan keseluruhan 255 peniaga yang menjalankan perniagaan termasuk 12 orang petugas MBSP di situ yang akan turut disaring," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Rozali meminta mana-mana peniaga, pembantu dan orang awam yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat untuk menghadiri ujian saringan atau menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah SPT di talian 04-5397884 bagi mendapatkan janji temu.

Selain itu, katanya, mana-mana peniaga yang mahu menjalankan ujian saringan juga boleh berbuat demikian di mana-mana klinik swasta sebelum memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperoleh untuk tujuan rekod dan perancangan selanjutnya.

"Semua peniaga juga diingatkan agar mematuhi arahan penutupan pasar awam ini dan tidak dibenarkan untuk berniaga dalam tempoh tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, MBSP memberi amaran kepada mana-mana peniaga yang gagal hadir ujian saringan seperti diarahkan.

"Satu operasi bersepadu melibatkan MBSP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKMP) untuk mengesan serta mencari mereka yang terlibat dari rumah ke rumah sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mereka ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).