Kes rasuah: Penjawat awam direman lima hari

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN- Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah bernilai RM1,500.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad selepas Pegawai Penyiasat SPRM Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim mengemukakan permohonan.

Suspek lelaki, yang berusia 43 tahun dan bertugas sebagai penghantar notis di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, didakwa meminta dan menerima wang RM1,500 daripada pengadu semalam sebagai balasan membantu urusan pertukaran nama dan penjualan tanah milik pengadu dan adik beradik pengadu.

Beliau juga ditahan pada 4.10 petang hari yang sama di sebuah restoran di Kuala Pilah dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek hadir ke mahkamah di sini dengan diiringi pegawai SPRM dan peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie. - Bernama

Artikel Berkaitan: