X

Kindly register in order to view this article
!

Penganjuran festival secara maya semarakkan seni, budaya negara

Nancy Shukri - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran festival kesenian yang kini diadakan secara maya kerana pandemik Covid-19 tidak harus menjejaskan momentum rasa cinta masyarakat terhadap keunikan seni dan budaya negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, pelbagai medium dan perkembangan teknologi semasa yang ada perlu dijadikan sebagai platform untuk mempromosi dan mempopularkan kesenian tradisional negara ini ke peringkat antarabangsa.

“Ini adalah penting bagi memastikan nilai-nilai kesenian dan kebudayaan subur dan terus berkembang dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kesenian Rakyat Kelate @ Online 2021 yang disiarkan secara maya di akaun Facebook rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada Jumaat.

Nancy berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya komited untuk terus menyemarakkan aktiviti seni dan budaya tempatan menerusi lapan program 'culture based tourism' yang dirancang sepanjang tahun ini dan Festival Kesenian Rakyat Kelate @ Online 2021 juga satu daripada lapan program berkenaan.

Katanya, inisiatif mempromosi program pelancongan berasaskan budaya secara dalam talian adalah pilihan sementara yang ada buat masa ini untuk penggiat seni mengetengahkan produk masing-masing.

Mengulas mengenai Festival Kesenian Rakyat Kelate @ Online 2021, beliau berkata, festival yang mengetengahkan pelbagai seni, budaya dan makanan negeri Kelantan itu dimulakan pada 2017 dan pada 2018, festival itu berjaya menarik lebih 38,000 pengunjung serta menjana pulangan RM70,000.

Nancy berkata, pada 2019 pula festival tersebut berjaya menarik lebih 55,000 pengunjung dengan pulangan lebih RM116,000 sepanjang dua hari penganjurannya.

Menurutnya, tahun ini festival itu kembali memeriahkan industri seni dan budaya tempatan dengan himpunan keunikan kesenian masyarakat Kelantan menerusi penganjurannya secara maya setelah terhenti pada 2020 kerana pandemik Covid-19.

Nancy berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, lima destinasi popular di Kelantan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Wakaf Che Yeh, kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, Dataran Kota Sultan Ismail Petra dan Istana Jahar.

Katanya, kesemua destinasi itu mempunyai keunikan dan keistimewaan tradisional tersendiri dan mampu menarik pelancong pada masa akan datang. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!