UMK subsidi kos pengangkutan pelajar pulang cuti semester

Penghantaran pulang pelajar turut menjadi keutamaan UMK bagi memastikan kebajikan pelajar institusi berkenaan sentiasa di jaga.
Penghantaran pulang pelajar turut menjadi keutamaan UMK bagi memastikan kebajikan pelajar institusi berkenaan sentiasa di jaga.
A
A
A

KOTA BHARU - Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menyediakan subsisi pembayaran perkhidmatan sewaan bas dan tiket penerbangan berjumlah hampir RM20,000 kepada pelajar yang pulang ke kediaman masing-masing sempena cuti akhir semester kali ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Razli Che Razak berkata, ia melibatkan pelajar semester Februari 2020/2021 dan pemberian subsidi berkenaan adalah antara usaha yang diambil UMK bagi meringankan beban pelajar untuk pulang bercuti.

Menurutnya, operasi penghantaran pulang pelajar pada kali ini turut mendapat kerjasama dari Malaysia Relief Agency (MRA) Kelantan yang menyumbangkan makanan bernilai RM10,000 kepada pelajar institusi berkenaan.

"Pelepasan pulang pelajar Fasa 1 pada 16 Julai melibatkan 142 orang pelajar untuk pergerakan ke Zon Utara seperti Perlis, Kedah dan Perak manakala untuk Zon Timur iaitu Terengganu dan Pahang pula menggunakan empat buah bas.

"Pergerakan pulang pelajar dari Sabah dan Sarawak menggunakan penerbangan awam pula telah bermula pada 15 Julai.

"Pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 bermula 12 Julai selaras dengan keputusan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 9 Julai lalu,"katanya.

Beliau hadir meninjau proses penghantaran pulang pelajar UMK, di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada Jumaat. Turut hadir, Presiden MRA, Dr Rosemi Salleh.

Mengulas lanjut, Razli berkata, HEPA telah diamanahkan untuk memastikan pergerakan pelajar UMK pulang ke rumah masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kaedah penghantaran pulang pelajar yang dibenarkan hanyalah menggunakan bas yang diuruskan oleh institut pengajian tinggi (IPT), kenderaan pelajar sendiri dan penerbangan awam.

"Jumlah pelajar UMK yang dibenarkan hadir ke kampus untuk semester Februari sesi pengajian 2020/2021 adalah seramai 860 orang untuk ketiga-tiga kampus.

"Namun, hanya 811 pelajar sahaja yang memohon untuk pulang ke rumah manakala selebihnya memilih untuk terus berada di kampus khususnya pelajar di UMK Kampus Jeli yang menjalankan kerja penyelidikan dan melengkapkan tugasan makmal,"katanya.

Sementara itu, untuk pergerakan Fasa 2 iaitu 1 hingga 2 Ogos pula, seramai 254 akan pulang menggunakan bas, kenderaan universiti dan kenderaan pelajar sendiri.

Pelajar tersebut adalah pelajar yang akan pulang ke kediaman yang telah tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), termasuklah pelajar yang menunggu dos kedua vaksin di UMK.