Pengusaha bas Johor sedia bantu kerajaan laksana Movak

Thiagarajan (kanan) menunjukkan bas yang sudah diubah suai dan mendapat kelulusan KKM untuk program Movak ketika ditemui pemberita di Johor Bahru pada Jumaat.
Thiagarajan (kanan) menunjukkan bas yang sudah diubah suai dan mendapat kelulusan KKM untuk program Movak ketika ditemui pemberita di Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pengusaha bas di negeri ini sedia menawarkan perkhidmatan bas untuk program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) bagi membantu kerajaan negeri mempercepatkan proses vaksinasi.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor, R Thiagarajan berkata, perkhidmatan bas berkenaan mampu menguruskan pemberian 500 dos suntikan dalam tempoh lapan jam.

"Program vaksinasi bergerak ini dapat membawa suntikan vaksinasi kepada golongan yang tidak berupaya berkunjung ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada bagi memastikan tiada golongan ketinggalan mendapatkan vaksin.

"Bagi menyediakan perkhidmatan ini, ruangan dalam bas sudah diubah suai dengan mengeluarkan semua kerusi tempat duduk untuk pemasangan stesen vaksinasi sementara.

"Modifikasi ini perlu mengikut syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini perkhidmatan ditawarkan mereka melibatkan sebuah bas setingkat dan sebuah bas dua tingkat sudah digunakan di Kampung Orang Asli Merbau, Maran, Pahang baru-baru ini.

Katanya, PMPPB Johor mendapat permintaan daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

"Kami dihubungi pihak Timbalan Menteri yang mahu menggunakan perkhidmatan disediakan kami untuk melaksanakan program Movak di Maran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, PMPPB Johor juga sudah dihubungi kerajaan Selangor yang menyatakan minat untuk mendapatkan perkhidmatan mereka bagi program Movak.

"Kita sedang mempersiapkan empat buah bas untuk kegunaan di beberapa lokasi di Selangor," katanya.