X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah arah perbicaraan penuh kes saman Indira Gandhi

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan perbicaraan penuh berhubung saman M Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan yang didakwa gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki mualaf itu, 12 tahun lalu.

Ini susulan keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan untuk membatalkan saman guru tadika itu semasa prosiding dalam talian pada Jumaat.

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, saman plaintif (Indira Gandhi) untuk pengisytiharan dan ganti rugi terhadap defendan pertama (KPN) kerana melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan terhadap defendan lain kerana bertanggungjawab menguatkuasakan perintah komital tidak boleh dikatakan berniat jahat, remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah.

“Kes ini tidak nyata tidak mampan untuk mewajarkan kes dibuang terus tetapi sebaliknya harus dibenarkan untuk ditentukan melalui perbicaraan penuh di mana pihak terlibat berpeluang memanggil saksi dan membentangkan kes mereka. Oleh itu permohonan membatalkan saman ini ditolak,” katanya.

Penghakiman bertulis disediakan kepada media.

Mohd Nazlan berkata, beliau mendapati hujahan defendan bahawa saman itu mengakibatkan kepelbagaian prosiding memandangkan kewujudan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh yang masih meninjau perkembangan pelaksanaan perintah komtial tanpa merit.

“Terutamanya ini kerana kedua-dua punca tindakan ‘tort of nonfeasance’ dan remedi ganti rugi dalam saman ini tidak pernah dibangkitkan sebelum ini dalam mana-mana prosiding lain. Plaintif dalam semakan kehakiman diberikan ‘mandamus’ berkenaan dengan perintah komital yang telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Bagaimanapun, ini tidak menghalang plaintif memulakan tuntutan sivil seperti pada masa ini untuk tuntutan ganti rugi atas dakwaan penderitaan dialami akibat dakwaan ketidakpatuhan defendan berkenaan ‘mandamus’ dan perintah komital,” katanya.

Berhubung usaha Indira mendapatkan 48 jawapan bertulis daripada polis atas siasatan terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, mahkamah membenarkan sebahagian daripada permohonannya mengenai soalan berkaitan prosiding komital.

”Berhubung permohonan untuk cadangan interogatori, selain berkaitan perintah pemulangan, yang tidak boleh dibenarkan atas alasan yang dinyatakan sebelum ini, beberapa daripada persoalan lain, yang kebanyakanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’, pada pandangan saya hanya tujuan litigasi yang sah dan jelas pihak interogatori mendapatkan pengakuan yang akan mengurangkan isu-isu dalam pertikaian.

“Keperluan untuk memanggil saksi tambahan akan berkurangan dan sesi pemeriksaan terhadap saksi relevan akan dipendekkan, seterusnya menjimatkan kos dan perbelanjaan.

“Ia juga diperhatikan bahawa dalam bantahan pada permohonan, defendan pertama tidak menegaskan bahawa jawapan kepada interogatori disifatkan sebagai hak istimewa,” katanya.

Mohd Nazlan turut mengarahkan defendan membayar kos RM4,000 atas perintah membatalkan saman itu dan RM1,000 untuk permohonan interogatori dan menetapkan 15 Disember ini untuk mendengar saman tersebut.

Pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A Dadi dan Peguam Persekutuan Safiyyah Omar manakala Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan.

Pada saman yang difailkan 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang kini berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa, kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April, 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Justeru, beliau menutut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantu rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama (KPN) telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!