NGO redah lautan, agih bantuan untuk penduduk Pulau Tuba

Amar (tengah) bersama Pengerusi LCO, Mohamad Faiz Abdul Kadir (dua, kanan) serta ahli LCO membawa bungkusan sumbangan untuk diagihkan kepada 60 penerima di Pulau Tuba.
Amar (tengah) bersama Pengerusi LCO, Mohamad Faiz Abdul Kadir (dua, kanan) serta ahli LCO membawa bungkusan sumbangan untuk diagihkan kepada 60 penerima di Pulau Tuba.
A
A
A

LANGKAWI - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sanggup meredah lautan bagi memastikan penduduk di Pulau Tuba tidak terpinggir dalam menerima sumbangan barangan makanan.

Pertubuhan Komuniti Langkawi juga dikenali sebagai Langkawi Community Organisation (LCO) membawa 60 pek makanan serta susu keperluan bayi dan kanak-kanak menaiki bot dari Pulau Langkawi ke Pulau Tuba untuk agihan fasa pertama ini.

Pengasas yang juga Setiausaha LCO, Amar Pared Mahamud berkata, agihan ini adalah sebahagian daripada keseluruhan 576 pek sumbangan Kebajikan Komuniti Langkawi.

“Sejak awal bulan kita telah agihkan ke beberapa mukim di Langkawi. Terpisah oleh lautan bukan alasan untuk tidak agihkan sumbangan kepada penduduk di Pulau Tuba.

"Serahan pertama ini adalah untuk memastikan penduduk di pulau itu berpeluang merasai sumbangan selain meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Amar Pared berkata, program kebajikan dengan kerjasama Pertubuhan Masyarakat Prihatin Langkawi ini adalah inisiatif daripada ahli-ahli yang turut menyumbang dana menyediakan barangan makanan.

Terpisah oleh lautan bukan alasan untuk tidak agihkan sumbangan kepada penduduk di Pulau Tuba.
Terpisah oleh lautan bukan alasan untuk tidak agihkan sumbangan kepada penduduk di Pulau Tuba.

“Sejam selepas permohonan sumbangan Kebajikan Komuniti Langkawi dibuka melalui kaedah Google Form, kita peroleh lebih 100 permohonan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 624 permohonan diterima pihak Sekreteriat dan jumlah permohonan yang diluluskan adalah 576 penerima. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang belum pernah menerima sumbangan selepas penilaian dibuat,” katanya.

Menurutnya, warga emas boleh mewakilkan kepada ahli keluarga atau wakil komuniti untuk mengisi borang permohonan berkenaan.

“Baru-baru ini, seramai 98 orang terpilih untuk menerima sumbangan ini di mukim Ulu Melaka. Penerima akan dihubungi oleh pihak urusetia secara berperingkat bagi mengambil atau penghantaran pek sumbangan.

"Semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat meringankan bebanan ditanggung penerima ketika waktu sukar ini,” katanya.

Amar Pared turut mengalu-alukan penyertaan NGO atau individu berminat untuk bekerjasama dengan LCO dalam program kebajikan ini.

“Sebelum ini, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut menyokong dan menyumbang sumbangan berbentuk dana,” katanya.