X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura: Remaja 16 tahun pengsan selepas divaksin beransur pulih

Remaja lelaki 16 tahun yang dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung selepas melakukan senaman angkat berat di gim, enam hari setelah menerima dos pertama vaksin Covid-19. Gambar hiasan.
A
A

SINGAPURA - Remaja lelaki 16 tahun yang dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung selepas melakukan senaman angkat berat di gim, enam hari setelah menerima dos pertama vaksin Covid-19, kini beransur pulih, menurut Kementerian Kesihatan Singapura.

Dalam kemas kini di Facebook, kementerian menjelaskan mengenai spekulasi yang mengaitkan kematian seorang remaja, antara lain disebabkan kesan vaksin Covid-19.

“Kami sedar mengenai spekulasi yang tersebar dalam laman sosial Facebook, Telegram dan WhatsApp yang memaparkan berita kematian seorang remaja akibat kejadian buruk berkaitan vaksin Covid-19.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kematian yang disebutkan itu tidak berkaitan dengan vaksin. Ia juga tidak berkaitan dengan kejadian di gim melibatkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang mengalami serangan jantung selepas bersenam.

"Remaja ini beransur pulih di hospital dan kami mendoakan yang terbaik untuk pesakit ini dan keluarganya," kata kementerian.

Pada 5 Julai, kementerian dimaklumkan oleh Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) mengenai kes seorang remaja tempatan berusia 16 tahun yang dirawat di jabatan kecemasan hospital itu selepas pengsan di rumahnya pada 3 Julai.

Pesakit kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi.

Remaja itu telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty) pada 27 Jun dan dalam keadaan sihat sepanjang lima hari selepas vaksinasi, kata kementerian.

Menurut kementerian sebelum pengsan pada 3 Julai, pesakit melakukan rutin angkat berat di gim dengan beban melebihi berat badannya.

Diagnosis awal keadaannya adalah serangan jantung yang berlaku di luar hospital.

Kementerian menasihatkan orang ramai khususnya remaja dan lelaki berusia di bawah 30 tahun untuk mengelak melakukan aktiviti fizikal berat dalam tempoh tujuh hari selepas divaksin, sama ada dos pertama atau kedua. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!