X

Kindly register in order to view this article
!

Anak Perak pulang bercuti perlu buat saringan Covid-19

Saarani Mohamad
A
A

IPOH - Semua pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) yang pulang ke Perak sempena cuti semester 2020/2021 mulai minggu ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu, anak-anak Perak yang sudah atau akan pulang ke rumah masing-masing diminta tampil membuat ujian saringan Covid-19 secara percuma di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Menurutnya, usaha itu dibuat sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 terutamanya dari Lembah Klang.

"Pada masa sama, pelajar terbabit juga dinasihatkan supaya melakukan pengasingan kendiri di rumah iaitu 14 hari bagi mereka yang pulang dari kawasan Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka) manakala 10 hari dari negeri lain.

"Pelajar yang mengalami tanda atau gejala jangkitan Covid-19 diminta segera mendapatkan rawatan di mana-mana hospital atau klinik kesihatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Saarani berkata, pihaknya memohon supaya maklumat berkenaan dapat disampaikan kepada ibu bapa serta anak-anak Perak yang sudah atau akan pulang bercuti mulai minggu ini.

Katanya, langkah tersebut bagi mengelak sebarang risiko jangkitan dan penularan di negeri ini.

"Saya memahami keinginan anak-anak Perak untuk pulang bertemu dengan keluarga, namun langkah-langkah pencegahan ini mesti kita lakukan demi mengelakkan sebarang risiko jangkitan yang bukan sahaja boleh mengancam kesihatan diri sendiri, malah ahli-ahli keluarga yang lain," katanya.

Menurutnya, sebarang kemusykilan atau pertanyaan boleh menghubungi talian hotline Covid-19 iaitu 05-2410 252/0107 atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!