Negeri Sembilan cadang tambah CAC di Paroi

Negeri Sembilan bercadang mewujudkan CAC tambahan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi sekiranya terdapat keperluan mendesak. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Negeri Sembilan bercadang mewujudkan CAC tambahan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi sekiranya terdapat keperluan mendesak. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bercadang mewujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) tambahan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di sini sekiranya terdapat keperluan mendesak susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu mampu menangani kepadatan pesakit Covid-19 di dua CAC di Taman Tasik Jaya dan Stadium Tertutup Nilai ketika ini yang secara puratanya menerima kehadiran 800 hingga 900 pesakit sehari.

“Selain itu, mekanisme menilai pesakit secara maya akan dilaksanakan bagi menambah baik pengurusan CAC sedia ada,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, purata kehadiran orang awam ke CAC daerah lain di Kuala Pilah, Rembau, Jelebu, Jempol, Port Dickson serta dua pusat di Tampin adalah purata 90 kes sehari.

Pada Khamis, Negeri Sembilan mencatatkan 1,603 kes baharu positif Covid-19 iaitu rekod tertinggi dengan kumulatif kes 57,359.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 111 penduduk di Blok B dan Blok E Taman Waja, Kuala Pilah telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada Rabu lalu melibatkan Kluster Taman Waja iaitu kluster kelapan di daerah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, saringan kaedah pengawasan (surveillance) secara bersasar dijalankan susulan kadar jangkitan wabak yang tinggi direkodkan di kedua-dua blok berkenaan dengan tiga kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan: