Populasi dewasa di Lembah Klang terima satu dos vaksin menjelang 1 Ogos

Khairy
Khairy
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Kesemua 6.1 juta populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu merupakan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi meningkatkan kadar vaksinasi di Lembah Klang.

"Daripada jumlah populasi itu, 3.5 juta telah selesai dos pertama manakala bakinya 1.3 juta akan menerima vaksin mereka antara 26 Julai sehingga 1 Ogos," katanya dalam sidang akhbar PICK pada Jumaat.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) telah meningkatkan keupayaan vaksinasi daripada 180,000 dos kepada 220,000 dos sehari dalam tempoh tersebut.

"Bagi memastikan operasi ini dijayakan, saya menyeru individu berusia 18 tahun ke atas untuk segera membuat pendaftaran di MySejahtera," katanya.

Bagaimanapun, ujar Khairy terdapat 11 peratus daripada populasi dikesan masih belum mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

Operasi Lonjakan Kapasiti merupakan usaha yang sama telah dilakukan di Labuan.

"Setakat ini, sebanyak 85.3 peratus populasi dewasa di Labuan telah pun divaksinkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu ujar beliau telah menunjukkan keberkesanan apabila kadar kebolehjangkitan di Labuan kedua terendah dilaporkan.

"Kita harap model yang sama boleh dicapai di Lembah Klang," katanya.

Khairy menjelaskan, selepas sasaran dicapai pada tempoh itu, pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka untuk walk-in bagi kesemua penduduk Lembah Klang yang mungkin tidak tersenarai dalam jumlah populasi itu.

"Statistik ini kita peroleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Mungkin ada yang tercicir, jadi mereka boleh walk-in selepas itu," katanya.

Selain itu, CITF telah menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur untuk menjayakan program tersebut.

"Program Vaksin Selangor (SelVAX) akan mengendalikan 21,000 dos dengan memberi tumpuan kepada industri," katanya.