X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Fenomena 'ikan jinak' musim PKP

Mohd Saipuruddin menjala di kawasan pesisir pantai di Pantai Pulau Kerengga, Marang. (Gambar kecil: Mohd Saipuruddin)
A
A

MARANG - [DIKEMAS KINI] Fenomena 'ikan-ikan jinak' yang muncul secara berkumpulan menghampiri kawasan pesisir pantai di Pantai Pulau Kerengga, di sini menjadi sumber rezeki buat penduduk setempat.

Seorang nelayan, Mohd Saipuruddin Abdullah, 41, berkata, kemunculan semula kumpulan ikan terdiri daripada ikan selar pucat, selar kuning, tamban dan pelata di kawasan itu disedari sejak minggu lalu.

Katanya, lokasi berkenaan sudah menjadi kelaziman dikunjungi ikan-ikan berkenaan yang mencari makanan di pesisir pantai apabila memasuki musim ikan bilis dan udang baring.

"Setiap tahun ikan akan muncul di tepi pantai tetapi musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini kita dapati banyak ikan keluar dan agak mudah ditangkap.

"Kebanyakan ikan-ikan ini akan menghampiri kawasan tepi pantai untuk mencari makanan iaitu udang baring dan ikan bilis.

"Jika tiada ikan bilis dan udang baring agak sukar untuk kita nampak ia menghampiri kawasan pesisir pantai. Ia hanya berenang di tengah laut dan tidak sampai untuk menjala dari darat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Pulau Kerengga, di sini pada Jumaat.

Menurut Mohd Saipuruddin, jika tidak turun ke laut, dia akan menjala ikan di tepi pantai pada waktu pagi dan petang.

"Untuk dapatkan ikan ini bergantung pada rezeki. Ada hari baik kita akan nampak dari jauh kumpulan ikan-ikan ini menghampiri kawasan tepi pantai. Biasanya kita akan tangkap menggunakan jala.

Tangkap layar video Mohd Saipuruddin bersama ikan-ikan yang berjaya ditangkap menggunakan jala di Pantai Pulau Kerengga, Marang.
Tangkap layar video Mohd Saipuruddin bersama ikan-ikan yang berjaya ditangkap menggunakan jala di Pantai Pulau Kerengga, Marang.

"Biasanya kalau ada ikan saya akan mula menjala antara jam 10 pagi dan akan berhenti pada waktu tengah hari serta akan menyambung kembali sekitar jam 5 hingga 6 petang," katanya.

Ujarnya, ikan yang diperoleh tidak dijual sebaliknya akan diagihkan kepada jiran-jiran serta golongan kurang bernasib baik.

Katanya, setakat ini dia pernah mendapat sehingga 40 kilogram (kg) ikan yang ditangkap menggunakan jala.

"Kalau turun ke laut pun tidak semua ikan yang diperoleh akan dijual. Kita ada juga berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik.

"Kita akur, musim PKP ni ramai yang terjejas. Biasanya ikan yang ditangkap menggunakan jala ini akan dikongsi antara satu sama lain untuk dinikmati bersama-sama.

"Ikan-ikan ini boleh dijemur untuk dijadikan ikan kering atau boleh dimasak mengikut selera masing-masing," katanya.

Rabu lalu, perkongsian hasil tangkapan ikan di tepi pantai menggunakan jala oleh Mohd Saipuruddin di media sosial Facebook miliknya tular hingga menarik perhatian ramai.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!