RCI langkah terbaik selesaikan persepsi negatif terhadap TH

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan segala tuduhan dan persepsi negatif terhadap TH.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersetuju dengan penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu.

"Sebagaimana sedia maklum, RCI ialah pendekatan penyelesaian tuduhan negatif terhadap TH. Maka sewajarnya kita terbuka dan memberikan kerjasama sebaiknya," katanya pada Jumaat.

Senada dengan Jamil Khir, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula memaklumkan beliau sejak awal lagi menyokong penubuhan RCI namun anggotanya perlu terdiri daripada pakar berkelayakan.

"Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa RCI TH perlu telus dan profesional tanpa agenda politik," katanya yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Selain itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan terdapat beberapa perubahan skop yang boleh ditambah baik dan dipinda bagi memastikan matlamat RCI tercapai.

"Paling utama adalah, skop siasatan RCI perlu mengambil kira Pelan Pemulihan Tabung Haji yang telah dimulakan pada zaman (kerajaan ) Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui Faceboook.

Pada 14 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh RCI Tabung Haji

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri pada hari berkenaan susulan isu-isu berbangkit yang timbul hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Menurut beliau, penubuhan RCI itu juga adalah bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan TH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam. - Bernama