Bayi setahun kritikal terjatuh dalam kolam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditemui kritikal dan tidak sedarkan diri selepas disyaki terjatuh ke dalam kolam buatan sendiri di sebuah rumah di Bandar Tasik Kesuma Beranang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada doktor bertugas di Hospital Kajang memaklumkan mengenai kes itu pada jam 9.11 pagi.

"Mangsa kemudian telah dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (PICU Pediatrik Kanak-Kanak) kerana keadaannya kritikal dan memerlukan rawatan rapi," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaid berkata, tempat kejadian ialah rumah ibu bapa mangsa dan didiami oleh datuk dan neneknya.

"Ketika kejadian bapa mangsa sedang tidur di dalam bilik manakala ibu dan nenek mangsa sedang memasak di dapur.

"Mangsa ketika itu sedang tidur di ruang tamu dan selesai memasak ibu mangsa menyedari ketiadaan mangsa telah mencarinya di sekitar rumah dan menjumpai mangsa dalam keadaan separuh tenggelam di kolam buatan di dalam kawasan rumah mangsa," katanya.

Mangsa telah dikejarkan ke poliklinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Kajang dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur.

"Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai merangkak keluar ke halaman rumah melalui pintu gril utama yang tidak berkunci sebelum terjatuh ke dalam kolam tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta untuk menghubungi IPD Kajang ditalian 03-89114222 atau mana-mana Balai Polis atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Suresh di talian 017-4333 795.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001. Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.