Peras ugut pekerja penyelenggara, 2 polis ditahan

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota dan pegawai mereka.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota dan pegawai mereka.
A
A
A

PETALING JAYA - Perbuatan dua anggota polis memeras ugut dan meminta suapan berjumlah RM200 daripada sekumpulan pekerja penyelenggaraan lampu jalan membawa padah apabila mereka ditahan awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Khamis, kenderaaan dinaiki mangsa dan rakan sekerjanya ditahan oleh sebuah kereta peronda polis semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, anggota polis berkenaan kemudian bertindak memeras ugut mangsa dengan memberitahu mereka kononnya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dengan menaiki kenderaan melebihi had ditetapkan.

Menurutnya, anggota polis itu turut memberitahu mangsa bahawa kesemua mereka boleh dikompaun sebanyak RM2,000 atas kesalahan berkenaan.

“Kemudian anggota polis tersebut seterusnya meminta mangsa memberikannya wang sebanyak RM200,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohamad Fakhrudin, berang dengan kejadian itu, majikan kepada pekerja penyelenggaraan terbabit menularkan kejadian tersebut menerusi Twitter miliknya sebelum mangsa membuat laporan polis sekitar jam 1 pagi Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya sekitar jam 2.45 pagi pada Jumaat.

Pada masa sama, wang suapan RM200 disyaki hasil pemerasan ke atas pengadu turut dirampas,

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua anggota ini kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut," katanya.

Pada masa sama, Fakhrudin menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota dan pegawai serta meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan perbuatan itu untuk segera membuat laporan.