[VIDEO] Tujuh beranak tinggal berhimpit dalam kontena

Azrul bersama isteri dan anak-anak tinggal di dalam kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama, Tebrau.
Azrul bersama isteri dan anak-anak tinggal di dalam kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama, Tebrau.
A
A
A

JOHOR BARHU - Seorang tukang rumah bersama isteri dan lima orang anaknya berusia dari lima hingga 13 tahun tinggal berhimpit dalam sebuah kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau sejak setahun lalu.

Azrul Maskat, 36 berkata, dia hanya boleh menyediakan kediaman itu untuk isterinya, Junaidah Abd Samad, 36, dan anak-anaknya kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

"Saya dan keluarga sudah tinggal di sini (kontena) sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dikuatkuasakan pada tahun lalu kerana tidak lagi mampu membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan.

"Kami sekeluarga tidak tahu hendak ke mana. Mujur ada seorang individu membenarkan saya dan keluarga menumpang dalam kontena di atas tanah miliknya," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian selepas tidak dibayar upah membuat rumah dianggarkan lebih RM 2,000.

Sebagai bapa, Azrul tidak pernah berpeluk tubuh mengharapkan bantuan untuk menyara anaknya, sebaliknya dia terus mencari rezeki dengan membaiki motosikal selain mengambil upah memotong rumput.

Azrul ( kanan) dan Junaidab ( kiri) menghidangkan makan tengah hari untuk anak- anak.
Azrul ( kanan) dan Junaidab ( kiri) menghidangkan makan tengah hari untuk anak- anak.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak kisah melakukan apa sahaja pekerjaan untuk mendapatkan sedikit wang bagi membeli makanan supaya anak- anak tidak kelaparan.

"Saya pernah tidak dipanggil untuk melakukan kerja-kerja kampung selama seminggu. Jadi, kami hanya makan nasi goreng kosong selama seminggu," luah lelaki itu.

Tambah Azrul, dia tahu anak-anaknya tidak selesa dengan keadaan kontena yang sempit dan panas namun mereka memahami dan tidak pernah merungut.

Kontena yang didiami tujuh beranak di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama, Tebrau.
Kontena yang didiami tujuh beranak di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama, Tebrau.

"Keadaan dalam kontena memang panas. Kalau hujan bahagian atas kontena ada yang bocor.

"Melihat anak- anak yang masih kecil dan masih belum faham dengan kesusahan ini membuatkan saya dan isteri cukup sedih. Sebab itu, kami merasakan perlu cari rumah lebih selesa untuk anak- anak," katanya.

Dalam pada itu, Azrul terharu dengan keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan barangan keperluan dan makanan sejak kisahnya yang tinggal dalam kontena tular di media sosial sejak kelmarin.

"Saya sangat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan malah ada yang ingin membantu untuk memohon bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM)," katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum kesusahan dihadapi Azrul dan keluarganya itu.

Katanya, kerajaan negeri bersedia membantu keluarga Azrul termasuk memindahkan mereka ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) terdekat.

"Saya akan bertemu keluarga Azrul untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya memberikan bantuan diperlukan termasuk rumah," katanya.