Jurufoto hadapi zaman sukar ketika Covid-19

Fikriamin Adenan, Mohd Faiz Ishak, Mohd Sofwan Mohd Rozi - Gambar hiasan 123RF
Fikriamin Adenan, Mohd Faiz Ishak, Mohd Sofwan Mohd Rozi - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

TEMERLOH - "Kalau dulu boleh dapat lebih RM1,000 untuk satu tugasan, kini cuma RM200 sahaja," luah seorang jurufoto, Mohd Safwan Mohd Rozi, 30, yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Dia yang tinggal di Kuantan berkata, walaupun perit namun itu adalah hakikat yang terpaksa dihadapi jurufoto sepertinya berikutan kurangnya permintaan disebabkan kekangan untuk mengadakan sebarang majlis serta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Dulu saya letakkan kadar pakej untuk pengantin antara RM1,000 dan ke atas kerana boleh mengambil gambar di pelbagai lokasi sama ada secara 'indoor' atau 'outdoor'.

"Tetapi dalam situasi sekarang, saya hanya boleh ambil gambar mereka di pejabat agama. Kadar RM200 sudah cukup sesuai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Safwan berkata, sepanjang tahun lalu, dia hanya mampu mendapat 10 tugasan berbanding sekurang-kurangnya tiga tugasan setiap bulan sebelum pandemik melanda.

"Untuk meneruskan kelangsungan hidup, saya buat pelbagai kerja seperti menjual kasut bundle, buat pencetakan kad dan macam-macam lagi.

"Walaupun tidak selumayan dulu, sekurang-kurangnya dapat bertahan dalam tempoh sukar ini," katanya yang sudah menjadi jurufoto sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, situasi sama turut dihadapi seorang lagi jurufoto, Fikriamin Adenan, 44, yang tinggal di Felda Chini, Pekan.

Artikel Berkaitan:

Dia kini terpaksa menjual makanan secara dalam talian seperti burger dan lemang periuk kera untuk menampung perbelanjaan keluarganya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, pendapatannya sangat terjejas sepanjang pandemik dan amat berharap kerajaan mengambil tindakan segera dengan situasi dihadapi negara.

"Jika dibiarkan berterusan, bukan saja jurufoto seperti kami yang tertekan, malah semua peringkat masyarakat berdepan detik sukar," ujarnya yang terbabit dalam bidang fotografi sejak 10 tahun lalu.

Seorang lagi jurufoto, Mohd Faiz Ishak, 38 berkata, dia mungkin terpaksa menjual kamera yang dimilikinya sekiranya situasi tersebut berlarutan hingga hujung tahun ini.

"Saya terpaksa menjualnya untuk kelangsungan hidup. Lagipun, jika kamera ini tidak digunakan, lama-lama akan rosak," ujarnya.

Mula melibatkan diri dalam bidang fotografi sejak 10 tahun lalu, Mohd Faiz mengakui hasil pendapatannya terjejas disebabkan kurang mendapat tugasan.