Polis rampas 1,069 mesin bitcoin bernilai RM5.3 juta

Polis Miri merampas 1,069 unit mesin bitcoin yang keseluruhannya bernilai RM5.3 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini. Gambar hiasan.
Polis Miri merampas 1,069 unit mesin bitcoin yang keseluruhannya bernilai RM5.3 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini. Gambar hiasan.
A
A
A

MIRI - Polis Miri merampas 1,069 unit mesin bitcoin yang keseluruhannya bernilai RM5.3 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, rampasan itu dilakukan dalam operasi bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) di bandar raya Miri antara Februari hingga April lalu.

Menurutnya, lapan individu turut ditahan kerana terlibat menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin dengan menggunakan tenaga elektrik yang dicuri daripada talian bekalan elektrik SEB sepanjang tempoh itu.

“Seramai enam individu telah dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri bekalan elektrik dan telah dijatuhkan hukuman denda sehingga RM8,000 dan penjara sehingga lapan bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kesemua rampasan untuk kes yang telah diselesaikan di mahkamah itu dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri pada Jumaat.

Beliau berkata, SEB mengalami kerugian sejumlah RM8.4 juta yang berpunca daripada kecurian bekalan elektrik untuk tujuan aktiviti melombong bitcoin di sini.

“Aktiviti melombong bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik ini telah menyebabkan gangguan elektrik yang kerap dan sepanjang 2021, sebanyak tiga buah rumah telah terbakar akibat daripada penyambungan bekalan elektrik secara haram,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: