DiGi catat untung bersih RM279.91 juta, hasil RM1.6 bilion

Perolehan hasil syarikat itu meningkat 11.4 peratus kepada RM1.62 bilion yang didorong terutamanya oleh prestasi segmen mudah alih serta jualan peranti.
Perolehan hasil syarikat itu meningkat 11.4 peratus kepada RM1.62 bilion yang didorong terutamanya oleh prestasi segmen mudah alih serta jualan peranti.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keuntungan bersih DiGi.Com Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2021, susut kepada RM279.91 juta berbanding RM288.04 juta bagi tempoh sama setahun lalu.

Bagaimanapun, perolehan hasil syarikat itu meningkat 11.4 peratus kepada RM1.62 bilion yang didorong terutamanya oleh prestasi segmen mudah alih serta jualan peranti.

Pendapatan bagi suku di bawah kajian itu pula adalah sebanyak 3.6 sen sesaham iaitu naik 0.2 sen bagi suku ke suku walaupun susut sedikit sebanyak 0.1 sen bagi tahun ke tahun.

“Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 3.6 sen sesaham atau bersamaan jumlah pembayaran dividen RM280 juta atau nisbah bayaran dividen sebanyak 100 peratus kepada pemegang saham yang dihargai,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Mengulas prospek masa depan, syarikat telekomunikasi itu berkata, ia telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Axiata Group Bhd yang menjadi sebahagian daripada cadangan penggabungan operasi telekomunikasi antara Celcom Axiata Berhad dan Digi Telecommunications Sdn Bhd pada 21 Jun, 2021.

“Biarpun kami telah bersedia untuk fasa berikut cadangan penggabungan itu yang bertujuan mewujudkan peneraju penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia, penyelesaian transaksi itu adalah tertakluk kepada kelulusan semua pemegang saham, pihak pengawal selia serta terma dan syarat lain yang berkaitan.

“Dari aspek operasi, kami kekal komited untuk memacu perniagaan seperti biasa untuk tempoh berbaki 2021 dengan melaksanakan keutamaan jangka masa terdekat, memacu kewangan yang lebih kukuh, menjadi organisasi yang lebih tangkas selain jenama dan amalan standard perniagaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Digi turut mengesahkan panduan tahun kewangan 2021 meliputi penyusutan satu angka bagi hasil perkhidmatan, penurunan satu angka sederhana bagi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta nisbah perbelanjaan modal kepada hasil keseluruhan sebanyak 14.0 peratus hingga 15.0 peratus. - Bernama

Artikel Berkaitan: