Responden Malaysia akui Sukan Olimpik acara penyatuan

No Image Caption
A
A
A

SEJUMLAH 77 peratus responden Malaysia mengakui Sukan Olimpik adalah satu acara yang boleh menyatupadukan rakyat, menurut satu kajian dijalankan Ipos.

Kajian bertajuk ‘Semangat Olimpik dalam Masa Pandemik’ mendapati Malaysia berkedudukan ketiga pada kenyataan ‘Olimpik membawa negara saya bersatu padu’, di belakang China, yang mendahului kedudukan dengan 92 peratus bersetuju, diikuti India kedua dengan 84 peratus manakala Korea Selatan, di belakang Malaysia dengan 73 peratus.

Amerika Syarikat (AS) di tempat ke lima (66 peratus) diikuti Great Britain (62 peratus) dan tuan rumah Olimpik tahun ini Jepun, berkedudukan paling rendah menyokong kenyataan itu (36 peratus), manakala purata negara dunia berada pada 65 peratus.

“Masyarakat masih melihat meneruskan Olimpik sebagai suatu yang positif - di Malaysia dan lebih dari itu, Olimpik dilihat sebagai acara yang menyatupadukan rakyat pada waktu sukar,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kajian itu juga mendapati Malaysia bersatu dalam minat mereka untuk badminton pada Olimpik dengan 63 peratus meminatinya, jauh lebih tinggi dari China (27 peratus) dan India (36 peratus) manakala purata di dunia minat pada sukan terebut hanyalah enam peratus.

Skuad badminton menjadi pasukan terbesar untuk kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo, dengan diwakili lapan pemain diketuai juara All England 2021 Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan pemenang pingat perak Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Sementara itu pandemik Covid-19 yang masih berterusan membawa kepada keraguan yang sukan itu perlu diteruskan di dalam keadaan semasa, dengan Jepun mendapat pandangan positif paling rendah untuk Olimpik Tokyo diteruskan iaitu, hanya 22 peratus.

Bagaimanapun India mendapat sokongan 54 peratus untuk Olimpik diteruskan diikuti AS (52 peratus), China (41 peratus), Great Britain (34 peratus), Malaysia (33 peratus) dan Korea Selatan berada di bawah Jepun dengan hanya 14 peratus bersetuju, manakala purata antarabangsa untuk sukan itu diteruskan, 43 peratus.

Artikel Berkaitan:

Kajian oleh Ipsos, sebuah syarikat berpangkalan di Perancis, dijalankan dalam kalangan 19,510 dewasa menggunakan panel dalam taliannya antara 21 Mei hingga 4 Jun.

Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai-8 Ogos. - Bernama