X

Kindly register in order to view this article
!

Maritim rampas 58 set bubu naga bernilai RM7,000

Bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya merampas 58 set bubu kambang atau bubu naga menerusi pemantauan Op Aman yang dijalankan di perairan Pulau Timun, Langkawi pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bubu naga tersebut dikesan oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia di dua lokasi berbeza kira-kira jam 10 hingga 10.40 malam.

Katanya, pemasangan bubu itu dikesan melalui pelampung penanda yang kelihatan mencurigakan di permukaan air di dua lokasi sekitar perairan berkenaan.

"Anggota yang melakukan pemeriksaan mendapati pelampung penanda tersebut merupakan petunjuk lokasi di mana bubu naga telah dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM7,000 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim, Bukit Malut untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah terperangkap ke dalam jaring terbabit.

"Ia juga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya.

Mohd Zawawi menambah, nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

"Maritim Kedah dan Perlis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

"Kita juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di talian 04-9662 750 atau MERS 999," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!