Maritim Perak rampas 64 set bubu naga

Pasukan rondaan mengesan pelampung digunakan sebagai penanda bubu naga. -Foto: Ihsan Maritim Malaysia Perak
Pasukan rondaan mengesan pelampung digunakan sebagai penanda bubu naga. -Foto: Ihsan Maritim Malaysia Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah merampas 64 set bubu naga di dua lokasi berasingan sekitar barat daya Pulau Talang, Segari, di sini.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua bubu naga bernilai RM7,680 dirampas dalam rondaan Op Pintas dan Op Sayong yang dilaksanakan pada Rabu dan Khamis lalu.

"Bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bubu naga tersebut berhampiran perairan Pantai Remis.

"Pihaknya mengesan pelampung digunakan sebagai penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh nelayan yang tidak bertanggungjawab bagi meraih hasil dengan jalan mudah," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, penggunaan alat penangkapan itu dikesan masih berleluasa walaupun rampasan dan operasi di perairan berkenaan kerap dilaksanakan.

"Kesemua bubu naga dengan anggaran RM120 seunit itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, di sini untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.

Shahrizan berkata, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus sekali gus menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

Artikel Berkaitan: