Tukang masak cedera kereta dilarikan penjenayah

Seorang tukang masak cedera di muka akibat terjatuh selepas berpaut pada keretanya yang dilarikan penjenayah di tepi Jalan Raja. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Adnan Basri)
Seorang tukang masak cedera di muka akibat terjatuh selepas berpaut pada keretanya yang dilarikan penjenayah di tepi Jalan Raja. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Adnan Basri)
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang tukang masak cedera di muka akibat terjatuh selepas berpaut pada keretanya yang dilarikan penjenayah di tepi Jalan Raja, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 40 tahun didapati dengan cuai telah meninggalkan kereta jenis Toyota Altis tanpa mematikan enjin di tepi jalan untuk membeli makanan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa menyedari terdapat lelaki berada di dalam kenderaannya ketika dia meletakkan makanan di bahagian penumpang hadapan.

"Semasa pintu dibuka, mangsa dapati ada seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi dan pelitup muka. Suspek kemudiannya bertindak memandu kereta tersebut.

"Mangsa yang terkejut telah berpaut pada pintu sebelum terjatuh. Dia mengalami cedera ringan di bahagian kaki, tangan dan muka akibat terjatuh di atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Anson Bay, di sini.

"Polis telah membuat hebahan kepada semua petugas di lapangan untuk mengesan kereta berkenaan setelah menerima maklumat itu.

"Polis berjaya menjumpai semula kereta tersebut di tepi Jalan Sungai Tunku, di sini kira-kira jam 7 petang hasil daripada maklumat orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.