X

Kindly register in order to view this article
!

Penubuhan RCI tiada beri kesan pada agihan keuntungan TH

Zulkifli menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali (kiri) menyerahkan sumbangan 41 unit tablet kepada Pengetua Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi, Norhafizah Ahmad di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan dimuktamadkan secepat mungkin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau memberi jaminan penubuhan RCI itu tidak akan memberi kesan terhadap agihan keuntungan Tabung Haji bagi pendepositnya.

Penubuhan RCI itu, kata beliau, adalah untuk merungkai persoalan dan permasalahan yang sering ditimbulkan dan dibangkitkan mengenai TH seperti aspek pengauditan dan dasar.

Beliau berkata, penubuhan RCI dipersetujui hasil daripada kehendak sebahagian besar ahli Parlimen, baik daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang, yang mahu isu-isu TH dilihat secara terperinci serta adil.

"Kita sejujurnya akan memastikan RCI bersifat bebas, telus dan akan pilih mereka yang berwibawa dan berintegriti untuk menganggotainya," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan serahan sumbangan 41 tablet dari TH Travel and Services Sdn Bhd kepada Sekolah Agama Menengah (SAM) Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh RCI Tabung Haji

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lepas mengumumkan kerajaan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Ismail Sabri berkata, antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI yang akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Mengenai sumbangan tablet kepada pelajar SAM Bandar Baru Salak Tinggi itu, Zulkifli berkata, sumbangan TH Travel and Services itu dapat meringankan beban pelajar asnaf yang tiada alat itu untuk meneruskan pembelajaran dalam norma baharu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!