Syarikat bas pekerja dikompaun bawa penumpang berlebihan

Nazli ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah bas yang membawa pekerja kilang di SJR Persiaran Budiman, Shah Alam pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Nazli ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah bas yang membawa pekerja kilang di SJR Persiaran Budiman, Shah Alam pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Dua syarikat pengendali bas pekerja dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam Ops Patuh yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sini selama empat hari bermula 13 hingga 16 Julai lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, kompaun dikenakan terhadap sebuah syarikat dan seorang individu kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digariskan kerajaan apabila membawa penumpang melebihi 50 peratus kapasiti kenderaan.

Beliau berkata, kompaun pertama sebanyak RM25,000 dikenakan ke atas sebuah syarikat pemilik bas pekerja pada Rabu.

Menurutnya, seorang individu pula dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 pada Jumaat kerana kenderaan terbabit dimiliki oleh syarikat milikan tunggal atau enterprise.

Katanya, kedua-duanya dikesan melakukan kesalahan itu ketika sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Budiman di sini.

“Sepanjang Ops Patuh ini, kita memeriksa sebanyak 1,035 buah kenderaan. Dua kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 11(5) (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342),” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurut Nazli, operasi empat hari tersebut memberikan tumpuan kepada bas pekerja yang gagal untuk mematuhi SOP.

Beliau berkata, ramai pemandu serta syarikat yang memandang remeh perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang kita menjalankan operasi ini, banyak kesalahan kita kesan, antaranya pekerja menaiki kenderaan tak mengimbas kod QR MySejahtera, malah ada kenderaan yang tidak menyediakan pemeriksa suhu badan.

"Kesalahan begini kita banyak buat advokasi dan akan mengeluarkan kompaun sekiranya pemeriksaan seterusnya mendapati mereka masih ingkar," ujarnya.

Tambah beliau, JPJ selangor turut mengenakan tindakan terhadap 57 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan; antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, cermin gelap dan kesalahan menggunakan kenderaan persendirian sebagai kenderaan komersil.