Bacaan Yasin, doa munajat berikan bekal semangat kontinjen negara

Reezal Merican - Foto Bernama
Reezal Merican - Foto Bernama
A
A
A

MAJLIS bacaan Yasin dan doa munajat untuk kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 diharapkan dapat memberikan kekuatan serta bekal semangat kepada kesemua atlet untuk memberikan yang terbaik pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kesemua atlet berkenaan juga diharap dapat beraksi dengan baik dan bersaing bagi mendapatkan kejayaan kelak.

"Ini adalah usaha, selepas kita lakukan dengan penuh keazaman, kesungguhan dan pada hujungnya kita sandarkan kepada Allah SWT untuk jayakan usaha murni kita ini.

"Mudah-mudahan pemergian semua atlet yang bakal berlepas ke Tokyo nanti diberikan dan dibekalkan dengan kekuatan doa ini supaya mereka dapat beraksi dengan baik dan akhirnya bersaing untuk mendapatkan kejayaan dan meletakkan nama negara (di pentas Olimpik dan paralimpik).

"Saya ucapkan terima kasih kepada MSN, ketua pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi (Ismail), Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, Ketua Setiausaha KBS, Datuk M Noor Azman Taib dan turut serta bersama kita pada pagi ini, Timbalan Menteri, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta seluruh keluarga atlet.

"Saya juga yakin seluruh rakyat Malaysia di luar sana yang inginkan kejayaan, mendoakan bersama-sama kita pada pagi ini. Mudah-mudahan apa yang kita pohon dan minta ini, moga ia dipenuhi dan dimakbulkan Allah SWT," katanya.

Majlis yang berlangsung dalam aplikasi Zoom selama 43 minit itu disertai lebih 200 warga sukan, antaranya jurulatih sukan pelayaran, Mohd Affendy Abdullah, ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil dan juga kakitangan MSN, Insitut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selain itu, difahamkan, majlis yang disiarkan secara langsung di laman facebook MSN itu turut ditonton oleh lebih 2,000 warga maya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, kontinjen negara disertai 30 atlet dengan pasukan badminton menjadi pasukan terbesar dengan menghangar lapan pemain yang bakal beraksi dalam acara perseorangan, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Pasukan terjun pula disertai lima wakil ke Tokyo dengan selain empat atlet bagi sukan pelayaran, memanah (dua atlet), olahraga (dua atlet), basikal (dua atlet), golf (dua atlet), gimnastik (dua atlet), menembak (seorang atlet) dan renang (dua atlet).

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung mulai 23 Julai hingga 8 Ogos depan tanpa kehadiran penonton susulan situasi semasa penulara Covid-19 di Jepun, ketika ini.