Lelaki ditahan buang kulit durian di kawasan persendirian

Lelaki ditahan bersama kenderaannya selepas bertindak membuang kulit durian di kawasan tidak dibenarkan berhampiran perkuburan Sempam, Cheroh, Raub pada Khamis. - Foto Facebook SWCorp Pahang
Lelaki ditahan bersama kenderaannya selepas bertindak membuang kulit durian di kawasan tidak dibenarkan berhampiran perkuburan Sempam, Cheroh, Raub pada Khamis. - Foto Facebook SWCorp Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan selepas membuang kulit durian dalam kawasan persendirian berhampiran perkuburan Sempam, Cheroh, Raub pada Khamis.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pegawai penguat kuasa SWCorp kira-kira jam 3 petang menerusi operasi penguatkuasaan sampah haram kulit durian di kawasan tersebut.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, pihaknya menahan lelaki itu bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa sisa kulit durian untuk dibuang di kawasan tersebut.

"Perbuatan lelaki itu satu kesalahan mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Kulit durian itu sepatutnya dibuang melalui kontraktor ke tapak pelupusan sampah berlesen dan bukan dalam kawasan persendirian," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Longgokan kulit durian yang ditemui dibuang berhampiran perkuburan Sempam, Cheroh, Raub pada Khamis. - Foto Facebook SWCorp Pahang.
Longgokan kulit durian yang ditemui dibuang berhampiran perkuburan Sempam, Cheroh, Raub pada Khamis. - Foto Facebook SWCorp Pahang.

Sharudin berkata, pihaknya mendapati kira-kira satu tan kulit durian dibuang di kawasan tersebut yang dipercayai turut dilakukan pihak lain.

"Melalui tindakan yang diambil ini, kita harap ia memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak membuang sampah termasuk kulit durian sesuka hati di kawasan yang tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada SWCorp untuk tindakan selanjutnya sekiranya melihat perbuatan tersebut," katanya.