Peletakan jawatan Hariri, satu lagi perkembangan mengecewakan

AS menyuarakan kekecewaan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri tatkala krisis ekonomi dan politik melanda,
AS menyuarakan kekecewaan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri tatkala krisis ekonomi dan politik melanda,
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kekecewaan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri tatkala krisis ekonomi dan politik melanda, lapor Sputnik memetik Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

Hariri meletak jawatan pada Khamis selepas mengadakan mesyuarat dengan Presiden Michel Aoun, yang sekali lagi menolak cadangan mengenai komposisi anggota kabinet.

"Pengumuman mengenai peletakan jawatan Saad Hariri sebagai Perdana Menteri hari ini merupakan satu lagi berita yang mengecewakan buat rakyat Lubnan," kata Blinken dalam satu kenyataan pada Khamis.

Blinken menggesa pemimpin tempatan menghentikan perbezaan politik supaya penubuhan kerajaan baharu dan pilihan raya parlimen pada 2022 dapat dilaksanakan.

Sementara itu, setiausaha agung Liga Arab (LAS), Ahmed Aboul Gheit berkata, pengunduran Hariri boleh mengakibatkkan keadaan menjadi lebih parah.

Aboul Gheit turut kecewa apabila Hariri gagal membentuk kerajaan baharu selepas segala usaha dicurahkan demi menyelamatkan negara.

LAS akan terus memantau keadaan di Lubnan dan memberi sokongan ketika keadaan yang sukar ini, katanya.

Lubnan dicengkam krisis ekonomi sejak 2019 menyaksikan nilai mata wang negara jatuh sehingga 80 peratus manakala rakyat berdepan kekurangan bahan bakar serta keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Sejak Januari 2020, ketidakstabilan ekonomi dan politik melanda negara ekoran peletakan jawatan Hariri sebagai Perdana Menteri.

Beliau kemudian dilantik semula menjadi calon Perdana Menteri pada Oktober 2020, berikutan peletakan jawatan Hassan Diab susulan peristiwa letupan di pelabuhan Beirut dan keengganan Mustapha Adib membentuk kerajaan.

Hariri mendakwa mampu mencari titik persamaan antara semua pihak tetapi gagal. - Bernama