Kilang gaji pekerja asing tanpa pas diserbu

Seramai 27 warga asing ditahan dalam serbuan Op Patuh. - Foto ihsan JIM Perak
Seramai 27 warga asing ditahan dalam serbuan Op Patuh. - Foto ihsan JIM Perak
A
A
A

IPOH - Tindakan sekumpulan warga asing memanjat pagar zink tajam ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa gagal apabila mereka dicekup dalam serbuan Op Patuh di sini, pada Khamis.

Serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan II, Pusing di Batu Gajah selepas disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

Pengarah JIM Perak, Hapdzan Husaini berkata, lima lelaki warga Myanmar dan Bangladesh berusia 30 hingga 35 tahun berjaya ditahan daripada cubaan meloloskan diri.

"Kehadiran pegawai operasi di lokasi menyebabkan mereka berlari bertempiaran sehingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat pagar zink yang tajam di belakang premis terbabit.

"Dengan kecekapan pegawai yang mengepung kawasan kilang yang berkeluasan padang bola itu akhirnya berjaya menahan mereka daripada melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Cubaan warga asing melarikan diri gagal selepas dicekup pegawai JIM. - Foto ihsan JIM Perak
Cubaan warga asing melarikan diri gagal selepas dicekup pegawai JIM. - Foto ihsan JIM Perak

Hapdzan berkata, serbuan kilang itu merupakan antara empat lokasi pemeriksaan yang dijalankan 30 pegawai penguat kuasa di sekitar Lahat Baru dan Pinji Estate serta Pusing.

Menurutnya, seramai 74 orang diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara dalam serbuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut, seramai 27 orang ditahan melibatkan 18 lelaki Bangladesh, Indonesia (4), Myanmar (4) dan seorang warga Pakistan yang berusia 30 hingga 52 tahun.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah," katanya.