ZPP salur bantuan kepada 208 masjid di Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Zakat Pulau Pinang menyalurkan peruntukan sebanyak RM208,000 bagi membantu 208 buah masjid di negeri ini dalam tempoh Fasa Dua Kawalan Pergerakan dana Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, setiap masjid akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 dan akan disalurkan kepada tabung masjid selewat-lewatnya pada minggu depan.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pihaknya menyedari situasi sukar pada hari ini yang memberi kesan kepada tabung masjid berikutan jumlah kehadiran jemaah yang dihadkan.

"ZPP bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap masjid kariah di seluruh negeri Pulau Pinang dengan jumlah peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM208,000.

"Kita berharap wang sumbangan yang diberikan akan dapat membantu pihak pengurusan masjid membiayai beberapa keperluan termasuk bil utiliti, pembersihan atau sanitasi," katanya dalam sidang media yang diadakan menerusi dalam talian di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP meluluskan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada rakyat Palestin dan sebanyak RM38,000 bagi masyarakat Islam di Thailand, Laos, Philipina dan Rohingya di Malaysia di bawah Tabung Bantuan Kemanusiaan Zakat Pulau Pinang (TBK ZPP).

Katanya, sumbangan disalurkan kepada sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan misi amal berkenaan di negara berkenaan.

"NGO yang terbabit dikehendaki menghantar laporan penuh aktiviti dalam tempoh sebulan dari tarikh penerimaan sumbangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali yang turut bersama dalam sidang media itu berkata, kutipan zakat fitrah pada tahun ini dilihat meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Katanya bagi tahun ini, sebanyak RM6,020,413.68 zakat fitrah berjaya diperoleh membabitkan sejumlah 775,422 pembayar.

"Berbanding pada tahun lepas iaitu sebanyak RM5,560,586.81 membabitkan sebanyak 756,948 pembayar.

"Jumlah kutipan zakat fitrah pada tahun ini menunjukkan bahawa ZPP mencapai sasaran iaitu sebanyak RM6 juta bagi tahun ini," katanya.

Jelasnya, pembayaran zakat fitrah dalam talian dilihat merosot kepada sembilan peratus berbanding 12 peratus pada tahun lalu.

Bagaimanapun, pembayaran secara konvensional iaitu di masjid pula meningkat kepada 91 peratus berbanding 88 peratus pada tahun lalu.