Muip agih RM127,000 bantu 13 pelajar lanjut pelajaran ke Mesir

Dr Asmadi menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir dalam majlis penyerahan pada Isnin lalu.
Dr Asmadi menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir dalam majlis penyerahan pada Isnin lalu.
A
A
A

KUANTAN- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengagihkan sumbangan RM127,000 kepada 31 pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) negeri Pahang tahun 2020 yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut merangkumi pembelian tiket kapal terbang sehala, wang saku berjumlah RM1,200, bayaran peperiksaan Tahdid Mustawa, suntikan vaksin dan lain lain.

Menurutnya, sumbangan ini bertujuan meningkatkan motivasi dan galakan selain membantu menampung perbelanjaan persiapan para pelajar.

"Selain sumbangan itu, Muip juga menyediakan Skim Bantuan Dermasiswa pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir berjumlah RM6,000 setahun," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Penyerahan tersebut disempurnakan pada Isnin lalu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali.

Sementara itu katanya, Muip turut menyalurkan sumbangan RM175,000 kepada Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar bagi pembelian 50 set komputer berserta kelengkapan.

Menurutnya, sumbangan tersebut bagi kegunaan pelajar yang mengikuti pembelajaran STAM, pelajar Program Tahfiz Bestari, pelajar program kelas bahasa Arab, program persediaan sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Melalui sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan pelajar bagi meningkatkan kemahiran pembelajaran seiring dengan perkembangan teknologi ketika ini," katanya.