Pahang beri penyewa premis PBT diskaun 50 peratus

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menawarkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus ke atas sewaan bulanan bagi premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian diskaun sewaan itu selama empat bulan iaitu Jun, Julai, Ogos dan September tahun ini.

Menurutnya, inisiatif itu dijangka memanfaatkan 6,237 penyewa, peniaga dan penjaja di Pahang.

"Keputusan ini dipersetuju pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu bagi meringankan beban penyewa yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan langkah-langkah ketat menanganinya.

"Menerusi pemberian diskaun ini, bagi kadar sewaan bulanan tertinggi RM9,000 akan menjadi RM4,500 manakala kadar sewaan bulanan terendah RM10 (bagi petak-petak penjaja di pasar) menjadi hanya RM5," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, untuk pemberian diskaun 50 peratus itu, semua PBT di Pahang mengorbankan hasil kutipan bulanan kira-kira RM1.3 juta atau kira-kira RM5.2 juta selama empat bulan tersebut.

"Inilah pengorbanan besar dilakukan oleh PBT dan diharapkan ia dihargai penyewa.

'Kerajaan negeri berharap, pemberian diskaun sehingga 50 peratus ini sedikit sebanyak melegakan mereka yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan: