X

Kindly register in order to view this article
!

MEF saran kerajaan guna langkah lebih relevan nilai keadaan pandemik

MEF menyarankan kerajaan mencari langkah lebih relevan dan tepat untuk menilai keadaan Covid-19 tempatan. Gambar kecil: Syed Hussain
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyarankan kerajaan mencari langkah yang lebih relevan dan tepat untuk menilai keadaan Covid-19 tempatan dan bukan hanya bergantung pada jumlah jangkitan harian yang dicatatkan untuk menentukan kawalan pergerakan.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, rakyat Malaysia tidak boleh terus hidup dalam ketakutan terhadap Covid-19 dan kekal dalam keadaan kawalan pergerakan yang berpanjangan kerana perniagaan dan rakyat tidak lagi mampu bertahan.

"Langkah kawalan pergerakan ini turut memberi kesan mengerikan terhadap kesihatan mental sebahagian besar rakyat Malaysia dengan kes bunuh diri, jenayah, keganasan rumah tangga, kemurungan dan kehilangan tempat tinggal meningkat dengan ketara.

“Selain itu, gangguan terhadap rantaian bekalan perniagaan kerana kawalan pergerakan yang berlanjutan boleh menyebabkan para pelabur yang sudah lama bertapak di sini untuk keluar dari Malaysia, sementara bakal pelabur pula akan lebih berwaspada untuk melabur.

"Situasi yang menekankan ini perlu berubah dan diperbetulkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Syed Hussain menegaskan majikan dan rakyat memainkan peranan penting dalam mempercepat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke arah keadaan 'normal baru' dengan menerapkan dan mematuhi langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.

Beliau menambah, sudah tiba masanya majikan menunjukkan tanggungjawab yang serius dan meyakinkan rakyat dan kerajaan dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan bersih.

"Banyak negara yang terkena varian Delta yang diserap melalui udara telah menerima Covid-19 sebagai endemik dan jika semua pihak berkepentingan menyedari ini dan bekerjasama, itu akan memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia," ujarnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!