MAIPk edar 2,000 tablet kepada pelajar Tingkatan 5

MAIPk menyampaikan bantuan tablet kepada pelajar Tingkatan Lima untuk membantu sesi PdPR. - Foto ihsan MAIPk
Gambar kecil: Shahrul Azam Shaari
MAIPk menyampaikan bantuan tablet kepada pelajar Tingkatan Lima untuk membantu sesi PdPR. - Foto ihsan MAIPk Gambar kecil: Shahrul Azam Shaari
A
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengedarkan bantuan pakej tablet dan data internet bernilai RM1.2 juta kepada 2,000 pelajar Tingkatan Lima daripada keluarga asnaf fakir miskin di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, bantuan berkenaan diagihkan secara terus kepada pelajar melalui pejabat-pejabat cawangan MAIPk dengan kerjasama pejabat Orang Besar Jajahan daerah sejak Isnin lalu.

"Bantuan tablet dan data internet secara percuma selama enam bulan ini merupakan salah satu daripada sembilan jenis bantuan yang telah diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada bulan lalu.

"Inisiatif bantuan ini bertujuan membantu para pelajar mengikut sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, MAIPk telah menggariskan beberapa bantuan yang dijangka dapat memberi manfaat kepada golongan yang terjejas.

"Antara bantuan yang telah selesai disampaikan adalah sumbangan kepada 25 buah pusat jagaan anak yatim bernilai RM308,000 bagi membantu pengoperasian pusat-pusat jagaan anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bantuan tajaan bekalan makanan institusi pendidikan bernilai RM200,000 turut disampaikan sebagai rizab untuk penuntut di institusi pengajian tinggi di negeri ini yang perlu menginap di tempat pengajian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Shahrul Azam berkata, MAIPk juga telah menyerahkan sumbangan kepada lima buah pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bernilai RM49,600 untuk membantu operasi pusat jagaan yang berdaftar di bawah JKM.

Artikel Berkaitan:

"MAIPk menyasarkan penyerahan bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang terjejas.

"MAIPk juga mengajak masyarakat Islam terus menyokong dan menunaikan ibadah zakat agar dana zakat sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan asnaf di Perak," katanya.

Kata Shahrul Azam, MAIPk sentiasa komited dan cakna terhadap kesukaran yang dihadapi rakyat terutama dalam kalangan asnaf fakir miskin.

"Di tengah-tengah keprihatinan masyarakat Islam untuk membantu golongan yang terjejas semasa tempoh PKP, kita juga amat mengharapkan umat Islam tidak lupa terhadap kewajipan menunaikan ibadah zakat yang wajib.

"Melalui zakat, ramai asnaf telah terbukti dapat dibantu bukan sahaja untuk memenuhi keperluan seharian asnaf tetapi turut membantu mereka dalam bidang pendidikan, perubatan dan sebagainya," katanya.