Ibu tunggal 10 anak hilang punca pendapatan selepas kematian suami

Walaupun serba kekurangan namun arwah suaminya sempat menyiapkan sangkar dan kandang untuk haiwan ternakannya. Gambar kecil: Abdul Qadim
Walaupun serba kekurangan namun arwah suaminya sempat menyiapkan sangkar dan kandang untuk haiwan ternakannya. Gambar kecil: Abdul Qadim
A
A
A

TANAH MERAH - Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib seorang ibu tunggal apabila terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara 10 anaknya selepas kematian suami pada Jun lalu.

Noor Hidayah Junoh, 39 tahun yang dahulunya bekerja sebagai pembuat kuih bersama arwah suaminya, Mohd Rosli Adam, 53 tahun kini bukan sahaja hilang sumber pendapatan malah dia juga tidak dapat berniaga akibat Sekatan Pergerakan Penuh (PKP) ketika ini.

Dia terpaksa menyara 10 anaknya dengan bantuan orang kampung dan keluarga terdekat memandangkan dia masih lagi dalam proses edah kematian suami.

"Buat masa ini saya masih tidak boleh keluar rumah dan rancangan saya selepas ini adalah untuk meneruskan perniagaan kuih ini secara sejuk beku. Ini sahaja kemahiran yang saya ada.

"Sebelum ini saya jual kuih tradisonal, roti goreng, roti kukus, donut dan sebagainya. Suamilah yang akan bantu saya dan dia akan hantar ke kedai untuk dijual. Tapi sekarang ini saya kena buat semuanya sendiri termasuklah menjaga 10 anak-anak kami," katanya kepada Sinar Harian.

Begitupun Noor Hidayah mengakui bersyukur dia kerana tidak perlu membayar sewa rumah selepas tinggal dikediaman yang disiapkan arwah suaminya tahun lalu sejak mula dibina 15 tahun lalu.

Noor Hidayah dikurniakan 10 cahaya mata iaitu Abdul Qadim, 16, Mohd Ehsan Al Mustafa, 15, Puteri Dhuha, 14, Mohd Solihin, 13, Puteri Waqini, 11, Puteri Qurratu Ayunni, 10, Puteri Ainul Mardhiah, 9, Puteri Siti Khadijah, 8, Mohd Sharif Hidayatullah, 6 dan Puteri Nur Hafizah berusia dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Noor Hidayah tabah menghadapi dugaan hidup selepas tidak sampai sebulan kehilangan suami tercinta.
Noor Hidayah tabah menghadapi dugaan hidup selepas tidak sampai sebulan kehilangan suami tercinta.

Mencerita lebih lanjut, dia juga bersyukur kerana anak sulungnya, Abdul Qadim dapat membantunya menguruskan kehidupan seharian terutamanya untuk mengendalikan haiwan ternakan peninggalan arwah suaminya.

"Arwah memang suka memelihara haiwan ternakan seperti kambing, ayam, itik serati, burung dan macam-macam lagi. Bila arwah tiada, Qadim lah yang uruskan semuanya.

"Mujurlah dia sudah tamat belajar, dapatlah dia bantu saya sedikit sebanyak. Lepas ini saya mahu kumpul duit untuk buat lesen kereta. Nanti jadi apa-apa susah pula kalau tiada lesen," katanya.

Noor Hidayah memberitahu, kesusahan hidupnya turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) dan penghulu kampung serta mengharapkan segala urusan dapat dipermudahkan bagi meringankan bebanan bulanan dan sebagainya.

Sementara itu, Abdul Qadim ketika ditemui berkata, walaupun baharu sahaja tamat belajar di salah sebuah sekolah tahfiz di sini, namun dia tetap mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi memenuhi harapan dan impian arwah bapanya.

Dia yang kini menguruskan adik-adik dan semua haiwan ternakan peninggalan arwah bapanya tetap tabah menghadapi cabaran baharu itu demi kelangsungan kehidupan mereka.

"Saya bantu apa yang boleh. Jaga binatang ternakan ayah dan bantu ibu urus adik-adik. Sekarang ini saya guna telefon ibu untuk ajar adik belajar, telefon pun tidak membantu sangat sebab kami pakai telefon biasa saja.

"Kadang-kadang tidak boleh buka langsung kerja-kerja sekolah cikgu bagi. Ini cabaran besar buat saya tettapi saya perlu hadapinya dengan tenang," katanya.

Sebarang bantuan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam milik Noor Hidayah iaitu 03027020191527.

Kediaman peninggalan arwah suami buat seorang isteri untuk menjaga 10 cahaya mata.
Kediaman peninggalan arwah suami buat seorang isteri untuk menjaga 10 cahaya mata.