X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

NGO, restoran sasar sedia makanan buat 15,000 orang sebulan

Wan Norashikin (kanan) bersama Zainol Fadzi (dua dari kanan) membantu mengagihkan makanan kepada orang ramai pada program Street Kitchen di Masjid Al-Ittihariah, Kampung Tengku Hussein, Manjoi, di sini pada Khamis.
A
A

IPOH - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama sebuah restoran bergabung menyediakan makanan kepada 15,000 orang ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekitar Ipoh setiap bulan.

Program yang dinamakan Street Kitchen itu dikendalikan NGO Sahabat Perak dan Padu Perak dengan kerjasama Restoran D’legasi & Warisan melibatkan tiga lokasi di Bandaraya Ipoh.

Penyelaras program, Muhammad Fadhli Ismail berkata, lokasi dipilih melibatkan kawasan yang mempunyai penduduk ramai iaitu Masjid Jamek Al-Diniah Kampung Sri Kinta, Masjid Al-Ittihariah Kampung Tengku Hussein, Manjoi dan Surau An-Nur Taman Mas, Chemor.

Menurutnya, pemberian makanan bermasak itu dilaksanakan empat hari seminggu iaitu pada setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad di lokasi ditetapkan dengan menu yang berbeza.

"Dalam tempoh sehari, kita bekalkan kira-kira 800 set makanan dan kita tidak membuat sebarang tapisan sebaliknya diedarkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Program ini kita lahirkan hasil kutipan sumbangan daripada orang ramai. Satu perkara yang di luar jangkaan kita dalam tempoh kurang dua minggu sebanyak RM22,000 berjaya dikutip.

"Dalam masa sebulan kita sasarkan sebanyak 15,000 makanan diberikan kepada golongan memerlukan dan kita harap ia mendapat sokongan daripada orang ramai," katanya kepada pemberita pada program Street Kitchen di Masjid Al-Ittihariah, Kampung Tengku Hussein, Manjoi, di sini pada Khamis.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui menyambut baik inisiatif yang diusahakan NGO berkenaan kerana benar-benar meringankan beban golongan memerlukan.

Farilah dan Mailan
Farilah dan Mailan

Seorang ibu tunggal, Farilah Hashim, 41, mengakui program itu amat membantunya yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai itu dengan pendapatan RM45 sehari mempunyai tiga orang anak berumur 12 hingga 17 tahun.

“Program ini sangat membantu saya berjimat sebab kerja gaji hari. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari itu dua minggu tak kerja dan tak ada pendapatan. Alhamdulillah, mujurlah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) ada bagi bantuan.

"Saya harap program-program seperti ini diteruskan atau ditambah bilangannya sebab sekarang ini makin ramai orang yang memerlukan bantuan,” katanya.

Bagi seorang warga emas, Mailan Mohammad, 62, dari Kampung Tengku Hussein mengakui program tersebut dapat memudahkannya mendapatkan makanan memandangkan dia tinggal berseorangan.

Menurutnya, walaupun menerima bantuan makanan, adakalanya dia tidak larat untuk memasak disebabkan faktor usia.

"Mak cik lega dapat ambil makanan di sini sebab tinggal seorang diri kadang-kadang nak masak banyak tak habis. Jadi mak cik ambil makanan di sini.

"Baguslah kalau dapat diteruskan lagi program ini sebab ramai juga yang boleh ambil," katanya.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang hadir pada program itu turut mengalu-alukan pelaksanaan Street Kitchen berkenaan.

Menurutnya, makanan yang disediakan itu sangat membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

"Apa yang diusahakan anak-anak muda ini saya dapat lihat satu program cukup baik memberi masakan bermasak sekali gus membolehkan orang ramai terus makan di rumah bersama keluarga.

"Saya lihat program ini amat baik dan kerajaan negeri sentiasa menyokong program-program berbentuk kebajikan seperti ini. Usaha mereka ini harus diberikan pujian.

Turut hadir meninjau pelaksanaan program berkenaan, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!