Kerani rugi RM31,000 gara-gara kerja sambilan

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang kerani mendapatkan pendapatan tambahan hasil kerja sambilan sebagai ejen sebuah aplikasi pembelian dalam talian tidak kesampaian apabila dia terpaksa menanggung kerugian RM31,000 setelah ditipu dalam urusan tersebut.

Wanita berusia 23 tahun itu tertarik dengan iklan kerja sambilan yang diiklankan melalui sebuah akaun Facebook selepas melayari laman sosial tersebut pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi syarikat terbabit dan telah membuka akaun melalui pautan yang diberikan.

Menurutnya, setelah mempunyai akaun, mangsa mula melaksanakan tugasnya di mana dia ditugaskan untuk menaikkan rating barangan dalam aplikasi tersebut.

"Mangsa dijanjikan komisyen atas tugas yang dilakukan itu.

"Bagi mendapatkan lebih banyak tugasan untuk komisyen lebih tinggi, mangsa menambah wang ke dalam akaun aplikasi itu," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, mangsa telah membuat bayaran berjumlah RM31,000 melalui lapan transaksi pindahan wang ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.

"Mangsa syak telah ditipu apabila wang yang dimasukkan dalam aplikasi itu tidak dapat digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan ke atas nombor telefon dan akaun yang digunakan mendapati kedua-duanya bermasalah dan mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Khamis," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang jururawat mengalami kerugian RM1,500 akibat ditipu individu yang menyamar sebagai kakaknya pada Khamis.

Mohd Wazir berkata, mangsa menerima mesej dari suspek menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali untuk meminjam wang RM1,500.

"Suspek berjanji akan membayar segera dalam tempoh beberapa jam.

"Bagi membantu 'kakaknya' itu, mangsa telah memasukkan wang ke sebuah akaun bank atas nama orang lain pada hari yang sama," katanya.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran, mangsa menghubungi kakaknya menggunakan nombor telefon sebenar untuk memberitahu tentang wang tersebut.

"Mangsa terkejut apabila kakaknya menafikan tentang perkara itu.

"Syak telah ditipu, mangsa menghubungi suspek menggunakan nombor telefon yang digunakan sebelum ini namun gagal dihubungi," katanya.

Menurutnya, semakan terhadap mesej yang di hantar oleh suspek sebelum itu semua telah dipadamkan dan mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Khamis untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.