Buanglah persepsi buruk terhadap majlis agama Islam

Kisah seorang wanita warga emas bukan Islam yang beratur mendapatkan bantuan daripada MAIK di Kota Bharu, Kelantan yang disiarkan di Sinar Harian.
Kisah seorang wanita warga emas bukan Islam yang beratur mendapatkan bantuan daripada MAIK di Kota Bharu, Kelantan yang disiarkan di Sinar Harian.
A
A
A

MERAK Jalanan tertarik dengan kisah seorang wanita warga emas bukan Islam yang beratur mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Pada mulanya, Fang Lee Chou, 66, ragu-ragu untuk mengambil bantuan tersebut kerana majoriti penerimanya adalah beragama Islam.

Bagaimanapun, dia yang menghadapi kesusahan akibat suaminya tidak bekerja terharu kerana MAIK tetap memberi bantuan tersebut kepadanya walaupun dia bukan seorang Islam.

“Baru saya faham, walaupun duit zakat tidak boleh terima tetapi MAIK ada dana lain untuk bantu orang bukan Islam,” kata Lee Chou.

Kisah ini menjadi contoh terbaik terhadap peranan majlis agama Islam yang membantu bukan setakat penduduk Islam, malah seluruh rakyat.

Ketika pandemik Covid-19, majlis agama Islam juga tidak terkecuali memainkan peranan menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkesan terutama golongan asnaf.

Merak Jalanan sebenarnya banyak dengar cerita majlis agama Islam membantu orang ramai menggunakan wang kutipan fidyah, zakat atau pelbagai sumber lain tetapi tidak dihebohkan kepada orang ramai.

Amat mengecewakan apabila ada yang lebih suka bercerita mengenai keburukan, kononnya susah untuk mendapat bantuan daripada majlis agama Islam. Bagi Merak Jalanan, ia hanya persepsi yang perlu kita kikis.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan bimbang, sekiranya persepsi buruk terhadap majlis agama Islam berleluasa, ia akan menyebabkan orang ramai ragu-ragu membayar zakat, sekali gus mengurangkan dana untuk membantu orang-orang miskin.

Merak Jalanan nasihatkan kepada mereka yang ragu-ragu itu, datanglah bertanya sendiri kepada majlis agama Islam dan bukan mendengar tuduhan sebelah pihak.