Mansuh tol: PPJK percaya kerajaan PH usaha tunai janji PRU

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK) akur kerajaan masih belum berupaya sepenuhnya untuk memansuhkan tol namun percaya bahawa kerajaan PH sentiasa berusaha untuk menunaikan janji yang dibuat ketika kempen PRU lalu.

Pengerusi PPJK, Mohammad Hisham Shafie berkata pengguna perlu bersabar kerana memang mustahil langkah pemansuhan tol itu dapat dilaksanakan segera tanpa mengkaji kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Bukan mudah untuk ambil alih konsesi empat lebuh raya itu dalam keadaan ekonomi sekarang, namun rakyat mengharap apa yang dijanjikan ketika PRU dapat ditunaikan. Ini bagi mengurangkan beban rakyat berhadapan kos sara hidup yang tinggi,” katanya di sini malam tadi.

Sementara itu, menyentuh cadangan memansuhkan kutipan tol di antara 11 malam hingga 5 pagi di keempat-empat lebuh raya itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata ia tetap akan memberi manfaat walaupun tidak semua orang dapat menikmatinya.

“Namun, jika kerajaan boleh mempertimbangkan diskaun pada waktu puncak, sudah pasti ia sesuatu yang dialu-alukan oleh rakyat tetapi kerajaan akan dibebani kos tambahan jika ia dilaksanakan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: