Gerobok rezeki cetus fenomena

Banyak perniagaan, kumpulan NGO, persatuan penduduk dan individu melancarkan program bantuan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan. Gambar hiasan.
Banyak perniagaan, kumpulan NGO, persatuan penduduk dan individu melancarkan program bantuan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan. Gambar hiasan.
A
A
A

GEROBOK rezeki yang suatu ketika dahulu hanya ada di sudut masjid dan surau, kini menjadi fenomena pada musim pandemik.

Banyak perniagaan, kumpulan NGO, persatuan penduduk dan individu melancarkan program bantuan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan. Selain gerobok rezeki, mereka memanggilnya bakul makanan atau bank makanan.

Pihak berkuasa sendiri sudah menggerakkan idea ini secara besar-besaran. Dua minggu lalu, semua ahli Parlimen diperuntukkan RM300,000 seorang untuk menjalankan program bantuan bakul makanan. Program itu adalah sebahagian daripada pakej rangsangan Pemulih yang diumumkan Perdana Menteri.

Setiap bakul makanan itu pula harus mengandungi 13 jenis barang iaitu 10 kilogram beras, dua peket minyak masak (1kg), dua peket gula (1kg), dua peket tepung gandum (minimum 850g sepeket), dua tin pekat susu (500g), sebungkus garam (400g), dua bungkus bihun (350g), sebotol kicap manis (600ml), sebotol sos cili (300g), dua tin sardin (400g), sebungkus teh (100g), sebungkus kopi (100g) dan sebungkus biskut (350g).

Mengambil kira 222 kawasan Parlimen yang ada, jumlah peruntukan itu adalah sebesar RM66.6 juta. Jika kos setiap bakul makanan ialah RM50, sebanyak 6,000 bakul makanan dapat disediakan daripada dana RM300,000 tersebut.

Walaupun peruntukan sama rata ini kelihatan kurang adil kepada kawasan Parlimen seperti Bangi, Selangor yang mempunyai pengundi paling ramai pada 2018 iaitu 178,790 orang berbanding 19,592 pemilih di kerusi Parlimen Igan, Sarawak, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang terjejas.

Idea gerobok rezeki ini sebenarnya sudah popular lama sebelum Covid-19 menyerang negara tahun lalu. Ketika itu, banyak masjid dan surau, pejabat, sekolah dan universiti telah melaksanakannya.

Biasanya penyumbang utamanya ialah orang yang berkemampuan, untuk kegunaan mereka yang terputus duit belanja atau tengah sesak pada hujung bulan. Konsepnya ialah lebih banyak memberi dan berkongsi, lebih baik dan lebih murah rezeki si penderma.

Artikel Berkaitan:

“Gerobok” ini bahasa orang dulu-dulu yang bermaksud almari tempat menyimpan makanan. Sekarang mereka menggunakan rak terbuka untuk meletakkan barang-barang keperluan terutamanya barang dapur. Siapa-siapa boleh ambil secara percuma. Tiada syarat tertentu, tak perlu isi borang dan tak payah imbas kod QR sebagai tanda pernah mengambil barang di situ.

Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang berbudi tinggi kita kena faham sendiri. Berpada-padalah bila mengambilnya. Bukan kita sahaja orang susah di negara ini. Paling penting, jangan tamak.

Sikap tamak segelintir rakyat Malaysia berjaya dirakam CCTV di sebuah stesen minyak yang dimuat naik seorang pengguna Twitter baru-baru ini.

Rata-rata netizen geleng kepala melihat gelagat sebuah keluarga ‘memborong’ hampir kesemua makanan percuma di bank makanan di situ.

Bakul makanan yang diberikan kepada golongan memerlukan sangat penting dan telah banyak membantu mereka pada waktu yang terdesak. Bilangan mereka ramai.

Bayangkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terpaksa menutup bank makanan di pusat khidmat Parlimen masing-masing kerana terlalu ramai orang yang datang beratur untuk mendapatkan bantuan selain tiada kebenaran polis.

Namun, langkah kebajikan harus seiring dengan usaha mewujudkan peluang pekerjaan. Perumpamaan “berikan kail, bukan ikan” belum memadai untuk keluar daripada krisis ini.

Jalan keluar jangka panjang daripada krisis kesihatan dan ekonomi ini adalah menerusi usaha mewujudkan pekerjaan dan peluang ekonomi kepada mereka yang hilang punca rezeki, sehingga mereka mampu membina gerobok rezeki sendiri untuk manfaat orang lain.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian