'Saya beruntung ramai kawan Muslim beri sumbangan'

Muhd Kumar (dua dari kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Azman Ghazali (kanan) pada satu majlis di Kota Bharu pada Khamis.
Muhd Kumar (dua dari kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Azman Ghazali (kanan) pada satu majlis di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat buat seorang saudara baharu di sini.

Malah, Muhd Kumar Abdullah, 46, menganggap masalah itu bukanlah satu pengakhiran kepadanya, sebaliknya ujian kecil daripada ALLAH SWT.

Menurutnya, sebelum ini dia mempunyai pendapatan sekitar RM4,000 sebulan sebagai Jurulatih Seni Budaya Negara (Seni Berbahasa Melayu), namun tidak lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Ada hari saya terputus bekalan makanan, tetapi saya beruntung kerana ada ramai kawan Muslim yang memberikan sumbangan dan prihatin terhadap nasib mualaf.

“Ini bukan pengakhiran dan saya tak pernah terfikir sampai hendak bunuh diri. Kalau saya mati sekalipun, saya hendak mati dalam Islam,” katanya ketika ditemui ketika Program Bantuan Prihatin Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) di Pejabat Persatuan Muslim India Kelantan di Taman Sri Bayam di sini pada Khamis.

Muhd Kumar sebelum itu menerima bantuan kotak makanan yang disampaikan Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Muslim India Kelantan (KIMA), Mohamed Sultan Oli Mohamed.

Menceritakan lebih lanjut, Muhd Kumar berkata, dia memeluk Islam pada Julai 2013.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum itu saya seorang ketagih alkohol dan boleh menghabiskan 10 botol minuman keras sehari sehingga mabuk.

“Satu hari, semasa mabuk, dada saya terasa sakit mencucuk-cucuk seperti hendak mati. Ketika itu seperti ada bisikan pada telinga saya mengatakan 'kalau kau mati, kau kena mati dalam Islam'," katanya.

Sementara itu, Mohd Azman berkata, sejumlah RM200,000 peruntukkan MAIK bagi menyalurkan sumbangan makanan kepada mualaf, asnaf, yatim dan ibu tunggal menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Antara yang menerima sumbangan pada hari ini ialah seramai 40 penerima mualaf daripada KIMA, seterusnya kepada NGO lainnya secara berperingkat.

“Barangan sumbangan antaranya ialah beras, tepung, susu, biskut, sardin, minyak masak dan wang ringgit,” jelas beliau.