Pesakit silap terima buah pinggang

Hospital Universiti Cleveland di Ohio meminta maaf berhubung kesilapan pembedahan buah pinggang yang berlaku baru-baru ini. - Foto Google Street View
Hospital Universiti Cleveland di Ohio meminta maaf berhubung kesilapan pembedahan buah pinggang yang berlaku baru-baru ini. - Foto Google Street View
A
A
A

CLEVELAND - Seorang pesakit di sebuah hospital di bandar raya Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat (AS) menerima pemindahan buah pinggang yang sepatutnya diberikan kepada seorang pesakit lain baru-baru ini.

Menurut portal berita CBS News pada 14 Julai lalu, pihak Hospital Universiti Cleveland kini sedang menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Hospital itu dalam satu kenyataan yang diperoleh oleh stesen stesen televisyen WOIO menyatakan buah pinggang itu masih sesuai untuk pesakit tersebut dan beliau sedang pulih seperti yang dijangkakan.

Menurut seorang pegawai di hospital, pihaknya memohon maaf ekoran kesilapan itu dan menyatakan dua pekerja telah diberikan cuti rehat berikutan kejadian tersebut.

Jurucakap hospital itu, George Stamatis berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya memohon maaf kepada pesakit dan keluarganya berikutan kejadian tersebut.

Beliau berkata, kejadian itu tidak konsisten dengan komitmen pihak hospital tersebut untuk membantu memulihkan kesihatan pesakit.

Pihak hospital itu juga sudah memberitahu pertubuhan bukan kerajaan iaitu United Network for Organ Sharing yang menguruskan sistem pemindahan organ kebangsaan berhubung kejadian berkenaan. - Agensi

Artikel Berkaitan: